Masjid: S'gor beri sumbangan untuk keselesaan jemaah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dua masjid di Parlimen Tanjong Karang menerima sumbangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membaik pulih kerosakan siling dan karpet bagi meningkatkan keselesaan jemaah.

Masjid berkenaan adalah Masjid Darul Iman di Kampung Parit Serong dan Masjid Ar-Rahman di Kampung Raja Musa, lapor Selangor Kini.

Sumbangan diserahkan oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali kepada nazir masjid berkenaan.

Nazir Masjid Darul Iman, Mohamad Jalani Yaakob, 61, ketika ditemui melahirkan rasa terharu kesudian kerajaan negeri menghulurkan bantuan sebanyak RM20,341 bagi membaiki siling masjid yang tidak pernah diganti sejak dibina pada 1960.

Katanya, kos membaik pulih ini juga sebahagiannya akan ditanggung melalui wang sumbangan kariah masjid.

Sehubungan itu, beliau selaku wakil masjid dan penduduk Kampung Parit Serong mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar di atas kesudian memberikan sumbangan dan menunaikan solat fardhu Jumaat di masjid itu.

Sementara itu, Nazir Masjid Ar-Rahman, Yahya Tawan ,73, berkata, sumbangan kerajaan negeri itu akan dimanfaatkan untuk membaik pulih karpet masjid yang rosak setelah digunakan hampir 10 tahun.

Untuk kerja baik pulih, Masjid Ar-Rahman menerima sumbangan sebanyak RM23,000.

Share on Myspace