Saya nasihat Najib saman saya dahulu - Rafizi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli menggalakkan lebih ramai pihak mengkritik Datuk Seri Najib Razak dan jangan takut dengan ugutan saman.

Ini, katanya kerana sehingga sekarang Perdana Menteri itu masih belum menyaman sesiapa pun, lebih-lebih lagi pengkritik nombor 1 beliau iaitu Tun Mahathir Mohamad.

"Saya menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menyaman saya dahulu sebelum mengugut untuk menyaman pihak lain," katanya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Saya terkejut membaca laporan media bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengugut untuk mengambil tindakan saman, kali ini terhadap lidah rasmi PAS iaitu Harakah.

Bukan sahaja saya terkejut kerana kelakuan sebegitu tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini; saya lebih terkejut kerana Datuk Seri Najib Tun Razak belum lagi menyaman saya walaupun pernah mengugut untuk berbuat begitu baru-baru ini.

Pada 4 Disember 2014, saya menerima surat undang-undang dari peguam Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor menuntut saya memberi penjelasan mengenai satu ceramah di Bandar Tun Razak.

Ceramah saya itu mengkritik keputusan menghapuskan subsidi minyak dalam keadaan perbelanjaan kerajaan terus boros dan skandal 1MDB yang menelan dana rakyat.

Saya menjawab surat undang-undang itu pada 9 Disember 2014 dengan menegaskan bahawa isu subsidi dan keborosan perbelanjaan negara adalah isu berkepentingan awam.

Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus mengkritik kerajaan atas perbelanjaan yang boros sehingga memotong subsidi minyak untuk rakyat.

Sehingga sekarang saya masih belum mendapat maklumbalas dari Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya agak kecewa kerana sebelum itu teruja agar peguam-peguam saya boleh menyoal balas Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah di kandang saksi.

Oleh kerana tiada maklum balas dari Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor setakat ini, rakyat bolehlah beranggapan bahawa kenyataan saya yang mengkritik keborosan kerajaan sehingga pentadbiran beliau terpaksa memotong subsidi itu adalah betul.

Oleh yang demikian, saya menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menyaman saya dahulu sebelum mengugut untuk menyaman pihak lain.

Saya juga menggalakkan lebih ramai pihak mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak dan jangan takut dengan ugutan saman kerana sehingga sekarang beliau masih belum menyaman sesiapa pun, lebih-lebih lagi pengkritik nombor 1 beliau iaitu Tun Mahathir Mohamad! - HARAKAHDAILY 28/2/2015

Share on Myspace