Hukuman mati bukan ancaman pengedar dadah

BERNAMA | .

SEREMBAN: Seramai 3,276 pesalah sehingga kini masih menunggu hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagaimanapun hukuman mati itu tidak menjadi satu ancaman kepada pengedar dadah untuk terus menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

"Jumlah yang besar ini disebabkan oleh terdapat dalang yang berada di belakang pengedar-pengedar ini yang boleh melantik peguam untuk (berusaha) melepaskan mereka daripada tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2015 di sini, Sabtu.

Katanya pesalah berkenaan tidak dijatuhi hukuman gantung lagi sebab mereka ini sedang menunggu lembaga pengampunan, semakan kehakiman dan beberapa langkah perundangan yang lain.

Katanya undang-undang di negara ini mencukupi bagi menyabitkan pengedar dadah tersebut ke muka pengadilan namun kerjasama dari semua pihak terutama masyarakat setempat amat penting dalam membanteras isu penyalahgunaan dadah.

"Terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian antaranya dalam bentuk perundangan seperti Langkah-Langkah Pencegahan Khas, pembanterasan dan juga pemulihan oleh agensi-agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mengurangkan jumlah penagih dadah di seluruh negara.

Statistik tahun 2014 menunjukkan peningkatan sejumlah 21,227 penagih yang berdaftar berbanding 20,887 pada tahun 2013 dan 15,101 pada tahun 2012," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 42 peratus daripada 49,200 banduan di seluruh negara merupakan pesalah berkaitan dadah.

Sementara itu pada majlis yang sama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri melaksanakan projek perintis secara bersepadu untuk membanteras ancaman dadah di Negeri Sembilan secara lebih sistematik dan holistik.

"Kita berharap agar gerak kerja baharu ini memberi impak yang lebih berkesan dengan kerjasama semua jabatan di peringkat negeri. Adalah menjadi harapan saya dan seluruh rakyat negeri ini agar program yang telah dirangka ini berjaya mencapai sasaran matlamat yang telah digariskan supaya permasalahan dadah ini dapat dihapuskan kelak," katanya. - Bernama

Share on Myspace