Harga barang naik jangan salahkan masyarakat Cina

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membidas pihak yang mendakwa peningkatan inflasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan masyarakat Cina, lapor Selangor Kini.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya mainkan isu perkauman bagi menutup kelemahan mereka menguruskan ekonomi negara dengan menyalahkan masyarakat Cina terutama golongan peniaga.

“Kita semua rakyat Malaysia jika mahu menentang inflasi untuk turunkan harga barang berjuanglah sebagai rakyat Malaysia sebab inflasi dan kenaikan harga adalah buta warna kulit, tidak mengira Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan," ujarnya pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor di Padang Perbandaran Ampang, malam tadi.

Tambahnya, jika harga barang naik, jangan menyalahkan orang Cina tetapi salahkan sistem yang tidak telus dan tidak diuruskan dengan baik yang menyebabkan banyak ketirisan dan kebocoran.

Katanya lagi, golongan berfikiran sempit itu perlu menerima hakikat masyarakat Cina di negara ini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara sejak merdeka.

Beliau turut mengulangi penegasan sebelum ini bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan membenarkan sentimen perkauman dan agama yang sempit dimainkan dalam negeri itu.

Azmin juga menggesa rakyat berusaha lebih gigih dalam menghadapi suasana ekonomi lembab dan kenaikan harga barang disebabkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Turut hadir Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, beberapa Exco, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Teng Chang Khim dan Elizabeth Wong.

Share on Myspace