PAS juga bertanggungjawab dakwah kepada bukan Islam

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

BAGAN SERAI: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, menjadi tanggungjawab kepada pimpinan, ahli serta seluruh pendukung perjuangan PAS untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah bersama parti itu.

Katanya, PAS bukan sahaja membawa agenda politik dalam perjuangannya sebaliknya yang lebih besar adalah agenda dakwah kepada masyarakat di negara ini.

Katanya, PAS bertanggungjawab untuk berdakwah kepada kelompok orang bukan Islam untuk memperkenalkan apa itu Islam yang sebenar hingga mereka terbuka hati untuk kembali kepada Islam.

PAS juga, jelasnya memegang tanggungjawab untuk menyedarkan umat Islam itu sendiri yang jahil kesan daripada serangan pemikiran yang dilakukan oleh penjajah.

"PAS bukan sahaja dimasukkan di dalamnya agenda politik, agenda pendidikan tetapi termasuklah juga agenda dakwah sama ada berdakwah orang-orang bukan Islam kepada Islam mahupun berdakwah kepada orang-orang Islam itu sendiri yang jahil," katanya dalam perbualan ringkas.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi melalui aplikasi 'hangout; dan dipancarkan secara langsung dalam program Nadwah Pemerkasaan Duat (Nekad) anjuran Lajnah Dakwah di Markas PAS Masjid Tinggi, Bagan Serai, semalam.

Turut membentangkan kertas kerja dalam program tersebut iaitu AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. - HARAKAHDAILY 1/3/2015

Share on Myspace