1,076 kanak-kanak negara ini dijangkiti HIV sejak 1986-2013

BERNAMA | .

CYBERJAYA: Sebanyak 1,076 kes jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang daripada 13 tahun dikesan di negara ini sejak 1986 hingga Disember 2013, kata Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Jasmin Jalil.

Beliau berkata berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, jumlah jangkitan HIV baharu dalam kalangan kanak-kanak bagi tahun 2013 sahaja adalah 50 kes atau satu peratus daripada keseluruhan 101,672 jangkitan sepanjang tempoh 27 tahun itu.

"Kanak-kanak ini mendapat jangkitan HIV semasa dalam kandungan kesan daripada ibu mereka tidak mengambil sebarang ubat untuk mengelakkan jangkitan," katanya kepada pemberita pada program Kayuhan Amal AIDS di sini hari ini.

Program itu dianjurkan MAF dan Universiti Kebangsaan Malaysia bertujuan mengumpul dana untuk membantu Orang Yang Hidup Dengan HIV terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Seramai 250 peserta mengambil bahagian dalam acara itu yang juga diadakan sempena Hari Sifar Diskriminasi.

Menurut Jasmin, jangkitan HIV membabitkan golongan muda yang berusia antara 13 hingga 29 tahun sejak 1986 hingga 2013 adalah sebanyak 34 peratus daripada keseluruhan jangkitan sepanjang tempoh itu.

Mengenai Hari Sifar Diskriminasi, beliau berkata pihaknya akan terus memperhebat usaha untuk mengikis stigma dalam kalangan masyarakat terhadap Orang Yang Hidup Dengan HIV atau terjejas HIV.

Katanya antara pogram yang dilakukan termasuk mengadakan kempen advokasi seperti di tempat kerja dan sekolah. - Bernama

Share on Myspace