Ibu bawa sambal bilis rendang limpa untuk Sirul

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Sebekas sambal bilis dan rendang limpa mengiringi misi 'C4 Your Self' ke Australia malam tadi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, misi itu lebih kepada isu kemanusiaan dalam menemukan koperal Sirul Azhar Umar dengan ibunya Piah Samad.

Beliau ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut berharap misi itu berjalan dengan lancar.

"Misi ini lebih kepada misi kemanusiaan untuk menemukan ibu dengan anak dan kita pergi ini bukan untuk sesuatu yang kontroversi.

"Kita harap perjalanan ini lancar tanpa ada sebarang halangan," katanya pada sidang media ringkas.

Katanya lagi, kebenaran telah diperoleh daripada pihak Kerajaan Australia apabila kelulusan visa bagi perjalanan itu telah diluluskan.

"Kelulusan visa telah diberikan dan di sana nanti kita dibenarkan berjumpa Sirul tetapi tidak dibenarkan membawa ap-apa peralatan elektronik termasuk telefon mahupun kamera.

"Lagi pun tidak ada pendedahan dilakukan selain pertemuan anak dengan seorang ibu," sambung beliau lagi.

Ibu Sirul, Paih yang ditemani anaknya Noriatin Umar, 37 mengharapkan pertemuan itu lancar tanpa gangguan.

Beliau yang tiba di KLIA kira-kira jam 8 malam, Ahad dari kediaman beliau di Changkat Jering.

"Apabila diberitahu untuk ke Australia, ibu rasa gembira, untuk bertemu anak.

"Sebagai seorang ibu saya harap anak saya (Sirul) dijaga dengan baik, dia orang baik.

"Ada bawa sambal bilis dan rendang limpa untuk Sirul kerana itu makanan kegemaran Sirul, tak tahu la boleh bawa masuk ke tak nanti," katanya.

Selain sambal bilis dan rendang limpa turut dipesan Sirul adalah kasut jogging untuk kegunaan beliau di sana.

Mahfuz turut diiringi Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahamd Nawawi, peguam Asmuni Awi dan beberapa pegawai iringan. – HARAKAHDAILY 2/3/2015

Share on Myspace