Bunga tulip salah satu warisan khalifah Uthmaniyah Turki

HARAKAHDAILY | .

BUNGA tulip selalu diidentikkan dengan negara Belanda. Ribuan pelancong datang ke Belanda hanya untuk mengagumi bunga yang cantik dan berwarna cerah ini, yang banyak ditanam di taman-taman negara Kincir Angin itu. Bandar Keukenhof di Belanda, setiap tahunnya bahkan dikunjungi kira-kira 800,000 orang dari seluruh dunia yang ingin menyaksikan keindahan aneka bunga tulip dalam Festival Tulip yang diadakan setiap tahun di bandar itu. Tak hairan masih banyak orang yang beranggapan bahawa bunga tulip adalah bunga asli dari Belanda.

Memetik laman web Eramuslim.com bunga tulip sebenarnya bukan bunga asal Belanda, kerana sebenarnya bunga ini berasal dari Asia Tengah dan Belanda sebenarnya terhutang budi pada kekhalifahan Islam Uthmaniyah di Turki, kerana atas peranan kekhilafahan Islam inilah Belanda sekarang jadi terkenal kerana bunga tulipnya.

Bunga tulip sebenarnya bunga liar yang tumbuh di kawasan Asia Tengah. Orang-orang Turki yang pertama kali menanam bunga ini pada di awal tahun 1000-an dan pada masa pemerintahan kekhalifahan Uthmaniyah, terutama pada masa kekuasaan Sultan Ahmed III (1703-1730) bunga tulip berperanan penting, sehingga masa Sultan Ahmed III disebut juga sebagai "era Bunga Tulip".

Pada masa itu, istana Sultan mempunyai sebuah dewan khas untuk menanam bunga-bunga tulip. Dewan itu dipimpin oleh seorang Turki yang juga ketua perangkai bunga istana yang tugasnya memberikan penilaian pada kualiti pelbagai jenis bunga tulip dan memberikan nama yang indah dan puitis bagi bunga-bunga itu antara lain dengan nama "Those that burn the heart", "Matchless Pearl" , "Rose of colored Glass", "Increaser of Joy", "Big Scarlet", "Star of Felicity", "Diamond Envy", or "Light of the Mind".

Hanya bunga-bunga yang mempunyai kualiti terbaik yang dimasukkan dalam senarai jenis-jenis bunga tulip itu, iaitu bunga tulip yang memenuhi standard dari ukuran tinggi dan kerampingan kelopak bunganya, bentuk helaian kelopaknya tirus dan jarak antara helaiannya sempit. Helaian kelopaknya harus halus tapi kuat, satu warna, saiz lebar dan panjangnya tepat. Tiga ratus tahun kemudian, komuniti holtikultura Belanda dan Inggeris mengajukan baru memikirkan untuk melakukan klasifikasi bunga tulip yang sudah dilakukan jauh sebelumnya oleh ahli perangkai bunga Turki di kesultanan Ahmed III.

Bunga tulip baru dikenali di Belanda pada abad ke-16 dan menjadi sangat popular di kalangan masyarakat kelas atas di negeri itu. Kata "tulip" sendiri berasal dari bahasa Turki yang ertinya "serban", semacam kain yang dililit untuk menutupi kepala. Tidak diketahui bila berlakunya negara Kincir Angin itu mulai membudidayakan bunga tulip itu, tetapi disebut-sebut bunga tulip mula dibawa ke Belanda pada sekitar tahun 1550-an oleh kapal-kapal yang berasal dari Istanbul.

Dokumentasi pertama tentang penanaman bunga tulip bertahun 1954 di Taman Raya Universiti Leiden. Menurut catatan itu, bunga tulip yang ditanam di kebun raya universiti Leiden dibawa oleh Carolus Clusius dari Vienna, Austria, penanggungjawab taman istana di Austria. Ketika itu, pengaruh budaya Turki sangat kuat di Austria terutama dari gaya berpakaian yang oriental dan tradisi minum kopi.

Memasuki abad ke-17, ekonomi Belanda berkembang pesat dan mencetuskan persaingan antara pecinta bunga tulip. Mereka berlumba-lumba mencari bunga tulip yang paling indah dan tidak segan-segan membayar dengan harga mahal untuk membeli bunga tulip itu. Harga bunga tulip di Belanda pun makin mahal, walaupun khabarnya ada jenis bunga tulip yang harganya sama dengan harga sebuah rumah. Tahun 1635, satu set bunga tulip yang berjumlah 40 tangkai dijual dengan harga 100,000 florin, bandingkan dengan pendapatan kalangan kelas menengah pada masa itu di Belanda yang hanya 150 florin.

Tahun 1636, usaha bunga tulip menjadi salah satu perniagaan yang perdagangan yang masuk dalam bursa saham dan diminati ramai orang. Kalangan pengusaha rela menjual tanah, rumah dan harta bendanya untuk melabur di perniagaan bungan tulip. Jenis bunga tulip yang sangat terkenal saat itu adalah jenis tulip yang bernama Viceroy, yang harganya boleh ribuan florin. Belanda menyebut fenomena "demam tulip" ini sebagai fenomena "wind trade" (perdagangan kontrak tulip) yang murni dilakukan dengan spekulasi. Ironinya, masa keemasan perniagaan bunga tulip di Belanda hanya berlangsung setahun, kerana pada tahun 1637 pasaran bunga tulip jatuh dan harga bunga tulip ikut mengendur.

Sampai hari ini, istilah "tulip mania" atau "tulipomania" atau "kegilaan tulip" masih digunakan sebagai istilah untuk menggambarkan goncangnya ekonomi kerana munculnya spekulator terhadap sesuatu trend perniagaan yang sifatnya untung-untungan. Meski cerita di balik "tulip mania" ini sedikit memalukan, tapi Belanda tetap mencintai tulip dan banyak orang yang tak ingat bahawa tulip-tulip yang indah dan cantik itu hasil penanaman dari zaman kekhilafahan Islam Turki Uthmaniyah.

Share on Myspace