PKR mohon Anwar dibenar hadir sidang parlimen

BERNAMA | .

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memohon membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sidang Parlimen yang bermula Isnin depan.

Ketua Whip Anggota Parlimen PKR Datuk Johari Abdul berkata tindakan tersebut berpaksikan peruntukan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Malah Pandikar Amin juga telah mengesahkan bahawa Anwar masih merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh dan ketua pembangkang, kata Johari.

"Oleh kerana petisyen telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan belum dibereskan, maka saya memohon Pandikar Amin menggunakan kedudukan beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat menguruskan kehadiran Anwar.

Bercakap pada sidang media di Ibu pejabat PKR di sini, Johari berkata, "Perkara 48 (4)(c) juga menjelaskan Anwar cuma hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah petisyen yang dikemuka dibereskan (ditolak)".

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-13 akan bersidang hingga 9 April 2015.

Menurut Johari, beliau sendiri menyerahkan surat permohonan itu kepada Pandikar Amin pagi ini, manakala salinannya diberikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah.

Pada 10 Feb, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mengekalkan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Pada Selasa lepas, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha pula menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara itu.

Diminta mengulas mengenai pendirian PAS dalam melaksanakan hukum Hudud, Johari berkata PKR tidak dapat membuat sebarang pendirian selagi PAS tidak menjelaskan secara terperinci mengenai pelaksanaan hukum tersebut.

Turut hadir pada sidang media itu Anggota Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid dan Anggota Parlimen Kapar G Manivannan. - Bernama

Share on Myspace