Wacana Kanun Jenayah Syariah di televisyen

ASLANI M | .

PULAU PINANG: Sekarang masa paling sesuai polemik isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II diketengah melalui wacana atau forum di media elektronik bagi membolehkan rakyat memahami lebih jelas.

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM berkata, kerajaan mempunyai pelbagai kemudahan bagi menjelaskan isu berkenaan kepada masyarakat.

“Masih ramai yang keliru terutamanya masyarakat bukan Islam. Polemik enakmen berkenaan sekiranya diperkatakan secara serius di media elektronik, saya berpandangan lambat laun rakyat akan faham.

“Hari ini ramai belum faham kerana tidak mendapat penjelasan mengenainya. Oleh itu sebelum Kelantan membawa private bill ke parlimen, ia wajar diperjelaskan melalui media massa,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada 2 April 2014 kerajaan Kelantan mengumumkan mahu membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen untuk mendapat kebenaran bagi membolehkan EKJS II dilaksanakan di Kelantan.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) terletak di bawah bidang kuasa Parlimen, memperuntukkan Dun boleh menggubal dan melaksanakan apa-apa kesalahan jenayah dengan tertakluk had hukuman tidak melebihi penjara 3 bulan, denda RM5,000 atau 6 sebatan.

Pindaan dicadang dibuat mengikut Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah atau di bawah Perkara 76 A perlembagaan persekutuan.

Dr Ahmad Fauzi pensyarah kanan Sains Politik berkata, kerajaan pusat mempunyai pelbagai medium dan jentera bagi menjelaskan EKJS kepada masyarakat.

“Biar pun kerajaan Kelantan difahamkan sudah menjelaskan enakmen berkenaan kepada masyarakat namun ia masih terbatas tanpa ada wacana terbuka di media elektronik,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya juga pengalaman di negara lain private bill dibawa pembangkang kurang diberi perhatian kerana kerajaan mempunyai agenda tersendiri.

Kata beliau kelazimannya kerajaan perlu menghabiskan agenda disusun oleh pelbagai portfolio kementerian sebelum memberi laluan kepada rang undang-undang persendirian. - HARAKAHAILY 2/3/2015

Share on Myspace