Sampai bila Mesir sanggup jadi boneka Israel?

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL HISS | .

LAJNAH Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LA PPM) mengutuk pengumuman mahkamah kerajaan rejim Mesir yang mengisytiharkan Kumpulan Jihad di Palestin, HAMAS sebagai organisasi pengganas. LA PPM menganggap pengumuman Mahkamah Mesir sebagai tidak masuk akal dan lebih mirip kepada pembalasan dendam kesumat yang tidak berkesudahan terhadap organisasi jihad itu.

Mesir tidak sepatutnya menjadikan HAMAS sebagai sasarannya kerana HAMAS milik Gaza dan Palestin dan rakyat Palestin yang patut membicarakan pertubuhan di negara mereka. Sepatutnya Mesir menumpukan perhatian terhadap negara sendiri dengan membicarakan pegawai-pegawai tinggi tentera yang bertanggungjawab membunuh rakyat Mesir dalam peristiwa berdarah 2012.

Apa yang dikesalkan adalah Mesir sanggup menutup mata melihat kekejaman Israel sebaliknya menghukum keras pejuang Islam yang mahu membebaskan tanah air dan umat Islam dari mangsa pembunuhan Israel. Sampai bila Mesir sanggup menjadi boneka dan kuda tunggangan rejim laknat Israel? LA PPM melihat pengisytiharan HAMAS sebagai pertubuhan pengganas tidak melemahkan HAMAS, sebaliknya HAMAS akan terus dijulang sebagai pembela umat Islam di Palestin dan di mata masyarakat dunia. Malah pemimpin Mesir bawah kepimpinan Abdul Fattah As Sisi pula akan dituding sebagai boneka Israel dan Amerika Syarikat, pengecut dan pengkhianat.

LA PPM juga mengutuk pengumuman Mahkamah Mesir yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Syeikh Dr Mohamed Badie, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin manakala ahli-ahli Ikhwan Muslimin lainnya dijatuhi hukuman mati. Dalam hal ini, LA PPM menyeru OIC untuk turut campur tangan dengan menyatakan bantahan terhadap keputusan yang sangat tidak adil ini.

Sangat malang apabila Mesir hari ini telah menjadi negara diktator yang mengetepikan nilai-nilai keadilan serta kemanusiaan, bahkan pemimpinnya bertindak atas faktor dendam dan perasaan benci semata-mata. Lebih menyedihkan apabila pemimpin Mesir hanya bertindak mengikut telunjuk AS dan Israel hingga sanggup melakukan apa sahaja terhadap penentang mereka yang tidak bersenjata. – HARAKAHDAILY 2/3/2015

Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss, Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Pemuda Pas Malaysia

Share on Myspace