Najib patut saman New York Times - Hanipa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Peguam PAS Hanipa Maidin menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membersihkan namanya di peringkat antarabangsa dengan bertindak menyaman akhbar The New York Times sebelum bertindak ke atas Harakahdaily.

Katanya, Najib perlu bertindak sama ke atas akhbar antarabangsa itu kerana mempersoalkan integriti beliau sekaligus mencemarkan maruahnya dan keluarga.

"Jika dia (Najib) hendak jaga integriti, tolong saman (New York Times). Kenapa takut? Kenapa Dr Rosli? Ini PM bukannya Ketua Pemuda Baling," soal Hanipa.

Bahkan katanya, jika Najib mahu menjaga nama keluarganya sepatutnya anak tiri beliau juga boleh bertindak menyaman New York Times.

"Barulah nampak Najib begitu serius untuk menjaga nama baik keluarganya," jelas Hanipa.

Sebagai pengamal undang-undang Hanipa menyifatkan Najiblah sebagai Perdana Menteri buat julung kalinya mahu menyaman kes fitnah ke atas musuh politik.

"Selemah lemah Pak Lah tidak saman, seteruk teruk Tun Mahathir pun tidak saman. Takkanlah tak bertanding di Dun Chempaka tiba-tiba saman media PAS! Sebab Apa? kena jawablah," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Artikel yang ditulis oleh Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakop pada 12 Februari lalu bertajuk "Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz?" ditulis berdasarkan satu berita yang disiarkan akhbar Amerika Syarikat (AS) The New York Times.

Ekoran artikel itu, Najib telah menghantar notis tuntutan kepada beliau dan Harakahdaily pada 26 Febuari lalu adalah atas kapasiti individu bukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. – HARAKAHDAILY 2/3/2015

Share on Myspace