Setiausaha Agung nafi PAS berpecah

| .

KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan parti Islam itu akan berpecah dengan dakwaan ada konspirasi menjatuhkan Presiden.

Katanya, setakat ini Presiden PAS. Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih kekal dan tidak ada mana-mana pihak yang bersedia untuk menjatuhkannya.

“Setakat yang ada ni saya tahu tak ada yang sanggup nak cabar kedudukan presiden, masing-masing masih berharap Tuan Guru kita masih kekal menyandang jawatan itu.

“Lagi pun perkataan guling yang sering digunakan oleh media ni sebenarnya tidak tepat,” katanya kepada media selepas Majlis Kutipan Dana Pasca Banjir anjuran Tabung Ilmuan Islam Malaysia di Dewan Jubli Perak MPKB BRI, di sini hari ini.

Program itu dianjur Dewan Ulama PAS Kelantan, dirasmikan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakub. Hadir sama Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Hassan Mohamood.

Beliau menjawab dakwaan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki kononnya usaha menjatuhkan presiden bermula 1998.

Mustafa berkata, tahun 1998 jawatan Presiden PAS masih dipegang Datuk Fadzil Mohd Noor dan bukannya Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Tak betul fakta Zuhdi tu, waktu tu (1998) Presiden PAS masih Ustaz Fadzil Noor,” ujarnya.

Menurutnya juga PAS akan melakukan siasatan berkaitan tuduhan yang mendakwa ada konspirasi mahu menjatuhkan Presiden PAS.

Katanya, semua yang terlibat sama ada pihak membuat aduan dan dituduh akan dipanggil pada tarikh yang sesuai. - HARAKAHDAILY 2/3/2015

Share on Myspace