Sirul suka rendang limpa, nanti kita masak lain - Piah

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Hati ibu manakah yang mampu menahan sabar setelah sekian lama tidak menatap wajah anak yang dilahirkannya.

Itulah gambaran yang diberikan Piah Samad, 74, yang kini berada di negara kanggaru, Australia dalam misi kemanusian 'See For (C4) Yourself' yang akan bertemu dengan Koperal Sirul Azhar Umar.

Tiba di Sydney pada jam 11.30 pagi waktu tempatan 2 Mac, Piah terus disambut dengan lensa kamera media negara kanggaru itu sejurus keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney.

Mungkin itu tidak dijangka beliau dengan liputan yang meluas diberikan pihak media tempatan termasuk media antarabangsa.

Kalau sewaktu beliau berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikelilingi media tempatan, di Australia perkara yang sama terus berlaku.

Namun perasaan gembira seorang ibu walaupun dibanjiri dengan kamera mahupun cahaya lampu kamera, senyuman tetap terukir di bibir menunjukkan tanda kegembiraan di hati.

Mungkin menyedari risiko yang dihadapi anaknya, Sirul sehinggakan beliau lebih rela anaknya terus berada di negara kanggaru ini dengan harapan agar pihak berkuasa tempatan serta Kerajaan Australia terus memberikan perlindungan sebaiknya kepada anaknya itu.

Dari Malaysia, Piah membawa dua bekas makanan kegemaran anaknya, sambal bilis dan rendang limpa.

Begitupun beliau terpaksa akur dengan undang-undang di negara orang apabila tidak membenarkan rendang limpa dibawa keluar dari lapangan terbang.

"Tak pa la dah tak dapat bawa keluar, Sirul suka sangat rendang limpa ni. Nanti kita masak yang lain pulak, dapat bagi sambal bilis ni pun dah elok sangat," katanya yang menerima hakikat peraturan itu sebagaimana dimaklumkan anggota pengiring rombongan 'See For (C4) Yourself' dalam WhatsApp kepada Harakahdaily.

Semalam 2 Mac, perubahan waktu tiga jam lebih awal masa, hari pertama hanya merehatkan badan di sebuah service apartment berhampiran pusat bandar Sydney, kepenatan berada di dalam pesawat untuk tempoh masa yang panjang diguna sebaiknya bagi mendapat tenaga baru sebelum pertemuan dengan anak tersayang.

Namun, naluri ibu kegembiraan mahupun tanggungjawab tidak pernah dilupakan, mungkin ini kali pertama rombongan misi bersama ibu kepada Sirul tetapi bila berada dalam kelompok yang kecil dan di negara asing silaturahim kekeluargaan itu tetap dirasai.

Ibu mana yang senang duduk bila melihat anak-anaknya belum makan, itulah yang beliau lakukan pada hari pertama berada di Sydney, memasak kari kepala ikan sebagai hidangan tengah hari di negara orang.

Menyelerakan dan mengenyangkan, itu yang dapat diluahkan oleh rombong misi. Masakan yang ringkas tetapi 'best' walaupun di negara orang tetap merasai masakan Malaysia.

"Sirul ni budak baik, kerja dia jaga menteri. Semua tempat dia pergi. Dia tak de cerita apa pun kat makcik sehinggalah dia ditangkap. Cuma sebelum dia ditangkap, dia ada balik kampung dan ziarah saudara-saudara minta maaf," katanya sambil menikmati makan tengah hari.

Anggota rombongan yang diketuai Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar itu hanya mendengar dan mengharapkan pertemuan Piah dengan Sirul berlangsung seperti mana yang dirancang.

Bendahari dan Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Asmuni Awi dan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi tururt serta. - HARAKAHDAILY 3/3/2015

Share on Myspace