Hanya di era Najib, saman PM ditunggu-tunggu?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dalam kes ancaman saman oleh Perdana Menteri, sudahlah ia tidak digeruni, bahkan bagai ditunggu-tunggu pula kerana ia dianggap peluang terbaik untuk mendedahkan lebih banyak perkara lagi.

"Ini benar-benar merupakan situasi yang asing dan luar biasa, bukan saja di negara kita tetapi juga di seluruh dunia sekali pun," tulis Shahbudin Husin dalam blognya, semalam.

Di Malaysia, bagi beliau ia barangkali hanya berlaku di era kepimpinan Najib sahaja.

Tulisan penuh sebagaimana di bawah.

Biasanya antara perkara yang paling ditakuti dalam kehidupan moden ini ialah tindakan saman oleh seseorang ke atas kita berkaitan perbuatan, percakapan atau tulisan yang kita lakukan yang tidak menyenangkan dan dianggap fitnah.

Saman bukan saja boleh membuatkan kita terpaksa membayar sejumlah wang yang banyak jika akhirnya kalah di mahkamah, bahkan juga kena memperuntukkan duit yang bukan sedikit untuk mengupah peguam.

Jika tidak mampu membayar denda yang ditetapkan pula, kekalahan di mahkamah mungkin juga menyebabkan kita diisytiharkan muflis dan tidak berharta lagi. Ada juga kes yang menyebabkan mereka yang kalah terpaksa merengkok di penjara kerananya.

Lebih ditakuti lagi jika yang mengemukakan saman itu ialah individu berpengaruh, dikenali ramai dan diketahui mempunyai wang yang banyak.

Kalau Perdana Menteri yang mahu mengemukakan saman itu, lagilah berganda ketakutan seseorang itu kerana ia bukan saja menjadikan potensi kalah lebih terbuka luas, gantirugi yang terpaksa dibayar juga tentulah besar jumlahnya.

Tetapi senario ini berbeza dengan Perdana Menteri, Najib Razak. Beliau seolah-olah langsung tidak ditakuti apabila beliau mengancam untuk menyaman dan membawa Harakahdaily serta Pengarah Urusannya, Dr Rosli Yaakop ke mahkamah, malah pihak lain turut tampil mencabar agar Najib menyamannya terlebih dahulu.

Dalam kes ancaman saman atau mahu disaman oleh Najib, sudahlah ia tidak digeruni, bahkan bagai ditunggu-tunggu pula kerana ia dianggap peluang terbaik untuk mendedahkan lebih banyak perkara lagi.

Ini benar-benar merupakan situasi yang asing dan luar biasa, bukan saja di negara kita tetapi juga di seluruh dunia sekali pun. Di Malaysia, ia barangkali hanya berlaku di era kepimpinan Najib ini saja.

Khamis lalu, Najib melalui peguamnya telah mengemukakan notis tuntutan kepada Dr Rosli dan Harakahdaily agar memohon maaf dan menarik sebuah aktikel yang mengaitkan anak tirinya, Riza Aziz dengan dana 1MDB untuk menerbitkan filem di Hollywood atau berhadapan dengan tuntutan saman di mahkamah.

Najib dikatakan bertindak demikian untuk melindungi keluarganya.

Sementara Dr Rosli dilaporkan sebelum ini berasa bangga dengan saman yang dikemukakan oleh Najib itu, peguam Hanipa Maidin yang bakal bertindak sebagai peguam kepada Dr Rosli, turut mengalu-alukan tindakan saman tersebut.

Katanya, beliau sebelum ini tidak berkesempatan untuk bertanyakan soalan dengan Najib di Parlimen dan kesempatan untuk bertembung di mahkamah adalah peluang terbaiknya untuk mengasak Perdana Menteri dengan pelbagai pertanyaan.

Jadi, kita syukran jazilah, terima kasih banyak-banyaklah, katanya yang juga merupakan AJK PAS Pusat serta Ahli Parlimen Sepang.

Dalam masa yang sama sebelum ini, apabila tersebar berita mengenai ancaman saman kepada Dr Rosli dan Harakahdaily itu, Rafizi Ramli juga bingkas mencabar Perdana Menteri agar menyamannya terlebih dahulu.

Jika Dr Rosli dan Hanipa berasa bangga dan bersyukur kena saman dengan Perdana Menteri, Rafizi pula terasa sedih dan tidak gembira kerana tidak dibawa ke mahkamah oleh Najib.

Ini kerana Najib juga pernah mengancam untuk menyaman Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkaitan isu 1MDB tetapi sehingga ini tidak diketahui statusnya.

Ancaman saman turut pernah dikemukakan oleh Najib kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua serta portal berita Malaysiakini.

Sama seperti tuntutannya agar kedua-dua mereka memohon maaf dan menarik balik atau berhadapan dengan tuntutan saman, ia juga tidak diketahui statusnya apabila permintaan itu enggan dipatuhi hingga tarikh akhirnya.

Najib hanya mengemukan notis tuntutan beserta dengan ancaman, tetapi apabila ianya tidak dipedulikan, beliau juga jadi senyap dan diam tanpa diketahui sama ada meneruskannya atau sekadar acah-acah saja.

Ia tidak ubah seperti "janji ditepati" bertukar menjadi "janji dicapati".

Begitu juga, saman Najib terhadap Harakahdaily dan Dr Rosli ini, ia turut tidak diketahui sama ada beliau serius atau acah-acah juga.

Jika terbukti ia hanya acah-acah saja, sekali lagilah "janji ditepati" turut bertukar menjadi "janji dicapati". - HARAKAHDAILY 3/3/2015

Share on Myspace