SPM 2014: 11,289 cemerlang semua mata pelajaran

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Lebih 11,000 daripada 455,839 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Mereka merupakan 2.62 peratus atau 11,289 calon yang mendapat gred A+, A dan A-, berkurangan berbanding 13,970 yang memperoleh keputusan sama pada tahun 2013.

Beliau berkata penurunan itu antara lain disebabkan sikap calon yang sering meramalkan bentuk soalan pada setiap tahun adalah sama sehingga menyebabkan mereka mengulang kaji mengikut cara lama.

"Dulu boleh jangka (soalan), tapi mulai tahun lepas kita dah ubah (pengolahan soalan), soalan tetap sama, standard sama, cuma memerlukan cara pemikiran yang berbeza.

"Tapi bagi calon yang memberi tumpuan pada pelajaran dan ilmu, mereka tetap akan mendapat keputusan yang cemerlang," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2014 di sini hari ini.

Khair berkata sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tahun lalu terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan dan 10 mata pelajaran.

Menjelas lanjut mengenai 11,289 calon yang memperoleh keputusan cemerlang, beliau berkata sebanyak 9,438 adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan, manakala 2,078 lagi calon selain daripada sekolah di bawah kementerian.

Katanya indeks yang diguna untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara ialah Gred Purata Nasional (GPN) yang jika semakin kecil nilainya menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

"Indeks GPN tahun lalu adalah 5.08 berbanding 4.93 pada 2013 menurun sebanyak 0.15," katanya.

Khair berkata prestasi mata pelajaran pula diukur menggunakan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan prestasi mata pelajaran yang lebih baik.

Katanya berdasarkan GPMP tahun 2014, sebanyak 28 daripada 73 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 43 menurun manakala dua lagi mengekalkan prestasi sama seperti sebelumnya.

"Bagi mata pelajaran teras, prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam meningkat sebanyak 0.14 GPMP iaitu 4.28 pada tahun 2014 berbanding 4.42 pada 2013.

"Prestasi bagi mata pelajaran teras yang lain iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Pendidikan Moral; Sejarah; Matematik dan Sains, menurun.

"Mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.38 mata GPMP iaitu 4.70 pada tahun 2014 berbanding 4.32 pada 2013," katanya.

Khair berkata bagi mata pelajaran elektif pula, sebanyak 27 daripada 66 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi. - Bernama

Share on Myspace