Piah masak rendang daging, tunai permintaan Sirul

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Berada di Australia tidak menghalang Piah Samad, 74, menyediakan makanan kegemaran anaknya, Sirul Azhar Umar.

Permintaan untuk merasa rendang daging tetap ditunaikan apabila sejak awal pagi lagi beliau telah memasak makanan kegemaran Sirul.

Menurut pegawai yang mengiringi misi 'See For (C4) Yourself' ke negara kanggaru itu, Piah bersama-sama rombongan telah pergi ke bandar Lakemba bagi mencari daging halal di sana.

"Kami ke bandar Lakemba semalam, di sana ramai orang muslim dan makanan halal senang dapat.

"Segala barang keperluan untuk rendang daging semuanya di beli di sana," ujar seorang anggota rombongan kepada Harakahdaily melalui WhatsApp.

Sementara itu, Piah ketika ditanya berkata walaupun penyediaan rendang itu tidak seperti mana di Malaysia tetapi dia berharap rendang yang disediakan itu dapat menghilangkan kerinduan anaknya.

"Pedas sikit tadi terlebih cili tapi tak pa, Sirul boleh makan. Harap dengan rendang ni, kerinduan Sirul pada makanan kegemarannya dapat dipenuhi," katanya sambil memasak.

Hari ini merupakan hari kedua pertemuan beliau dengan Sirul yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) di Villawood, Sydney.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berharap pertemuan hari ini berjalan lancar seperti lawatan semalam.

"Semalam tidak ada sebarang masalah yang timbul dan hari ini kita mengharapkan situasi yang sama.

"Ibu Sirul dah menyediakan rendang, jadi biarlah Sirul dapat menikmati makanan kegemarannya," katanya. - HARAKAHDAILY 4/3/2015

Share on Myspace