Pihak cemar Loji Rawatan Air Sg Semenyih dicari

| .

 

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang menjadi punca pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sehingga operasinya terpaksa dihentikan pada jam 5.15 petang semalam.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Zaidy Abdul Talib berkata, Pasukan Petugas Pencemaran Sumber Air diketuai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Konsortium Aliran Bekalan Air Selangor Selatan (ABASS) sedang menjalankan siasatan serta-merta untuk mengenal pasti punca-punca pencemaran.

“Kadar pengepaman air mentah loji berkenaan terlebih dahulu dikurangkan daripada 682 juta liter sehari (JLH) kepada 409 JLH,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, LUAS menerima makluman daripada ABASS berkenaan penurunan kadar pH dan peningkatan parameter Mangan dan Ammonia di Sungai Semenyih pada jam 3.15 petang semalam.

Bacaan air mentah mencatatkan kadar pH 5.65, Ammonia pada 1.60 ppm dan Mangan pada kadar 1.51 ppm. - HARAKAHDAILY 4/3/2015

Share on Myspace