Contohi Selangor bersiap awal elak catuan air

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengalu-alukan jaminan Kerajaan Negeri Selangor mengenai tiada catuan air akan berlaku pada musim panas ketika ini.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berharap persediaan dengan alternatif lain dibuat sekiranya ia berlarutan dalam tempoh panjang dan tidak berlaku hujan.

Katanya, kebimbangan tetap ada sekiranya musim panas berlarutan dan hujan tidak berlaku, kemungkinan kolam takungan air akan menghadapi masalah bekalan.

“Kerajaan negeri kena fikirkan masalah itu dan mencari alternatif lain supaya dapat menampung keperluan rakyat,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau memuji kerajaan negeri yang membuat persiapan awal bagi memastikan tiada masalah catuan air seperti mana dihadapi tahun lalu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Malah, katanya, usaha kerajaan negeri turut mendapat pujian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mana tahun lalu ianya sudah bermula bagi menangani krisis berkenaan.

“Kita berharap ia dapat diatasi dengan usaha dijalankan Kerajaan Negeri antaranya pembenihan awan, projek Hybrid off River Augmentation System (Horas) dan sebagainya.

“Usaha berterusan dan jaminan kerajaan negeri itu pasti melegakan pengguna khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Share on Myspace