SPR mesti lantik semula pembantu pendaftar

| .

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik semula penolong pegawai pendaftar daripada parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membenarkan pendaftaran pengundi secara komprehensif.

SPR mesti menjelaskan mengapa ia menyekat proses asas ini memandangkan menjelang pilihan raya yang akan datang, dianggarkan empat juta rakyat Malaysia akan mencapai tahap umur mengundi 21 tahun.

Sejak SPR enggan memperbaharui status pembantu pendaftar daripada parti politik dan NGO pada akhir tahun 2013, bilangan pengundi pada suku pertama 2014 kurang daripada suku pertama 2013.

Suku pertama 2013 menyaksikan jumlah pengundi dalam daftar pemilih meningkat secara mendadak, sebanyak lebih daripada 100,000 pengundi, terutamanya kerana usaha pembantu sebegini.

SPR telah menerangkan kepada Ahli Parlimen DAP bagi Serdang YB Ong Kian Ming (lihat surat yang dilampirkan), perlantikan baru dihentikan untuk memudahkan penyelarasan kaedah pendaftaran pengundi.

"Jika begitu, bolehkah SPR menjelaskan siapakah yang dibenarkan untuk mendaftar pengundi, terutamanya untuk memberi pencerahan terhadap gesaan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Disember tahun lepas kepada parti-parti komponen Barisan Nasional supaya lebih agresif dalam mendaftar pengundi baru?"

"Adakah agensi-agensi kerajaan, seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), masih diberi kuasa untuk mendaftar pengundi?" soal Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.

Bersih 2.0 sekali lagi menegaskan, mekanisme yang paling berkesan untuk hak mengundi yang sepenuhnya kepada semua ialah Sistem Pendaftaran Automatik Pengundi, yang menggunakan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.

Walau bagaimanapun, jika SPR masih menolak kaedah ini, ia mesti menggunakan segala sumber yang ada untuk memastikan nama setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi ada di dalam daftar pemilih. - HARAKAHDAILY 4/3/2015

Share on Myspace