Tokoh ulama, pemimpin Islam hadir Ijtimak Antarabangsa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-3 yang akan diadakan bermula 19 hingga 22 Mac ini di pekarangan Masjid Rusila, Terengganu bakal mengumpul tokoh-tokoh ulama dan pemimpin Gerakan Islam dari seluruh dunia.

Bertemakan 'Wa Qudsa' (Palestinku), ijtimak kali ini memberi fokus kepada peningkatan kesedaran mengenai isu Palestin dan isu-isu Islam minoriti yang tertindas di seluruh dunia terutama di Asia, kesan dan menghadapi ancaman yahudi terhadap Jurusalem dan Al-Aqsa.

Ia juga untuk memberi sokongan kepada rakyat Gaza dan kesabaran mereka serta memberikan tekanan untuk menghentikan pengepungan ke atas Gaza dan sokongan untuk membantu umat Islam yang ditindas dengan segala cara.

Pengerusi Sambutan Ijtimak Antarabangsa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjangkakan lebih 200,000 orang yang akan hadir ke program kali ini.

Bahkan, katanya beberapa tokoh ulama dunia antaranya Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia dari Maghribi Prof Ahmad Al-Raysouni, Mufti Kesultanan Oman Sheikh Ahmed Hamad Al-Khalili dijangka akan turut serta dalam ijtimak ini.

Pemimpin An-Nahdzah Tunisia Sheikh Rashid Al-Ghannousi turut hadir dan dijangka akan memberi ucapan aluan pada hari kedua, 20 Mac selepas jam 8.30 pagi.

Walaupun Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi tidak dapat hadir kerana faktor kesihatan, bagaimanapun pihak penganjur akan berusaha mendapatkan ucapan melalui rakaman video beliau.

Sementara itu, Pengarah Ijtimak Antarabangsa Husin Ismail mengesahkan pertubuhan dan gerakan Islam dari 49 buah negara menyatakan kesediaan untuk hadir ke program ini.

Ijtimak ini dianjurkan oleh Pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Pusat.

Katanya, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam di lebih 10 buah negara khususnya di kawasan minoriti muslim tidak melepaskan peluang untuk turut menyertai ijtimak kali ini.

Pelbagai acara telah disusun sepanjang empat hari berlangsungnya ijtimak antarabangsa antara persembahan artis Jemputan Gaza Abd Fatah Owainat, Bicara Tadahan Wahyu, Kalam Jamaie 3 Bahasa, Ekspresi Anak Muda, Pidato pemuda Islam, Talaqi Kitab dan pertandingan fotografi oleh Ustaz Azhar Idrus. - HARAKAHDAILY 4/3/2015

Share on Myspace