Kelantan beri insentif RM500 pelajar cemerlang

| .

 

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meneruskan tradisi memberi insentif kepada pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Sumbangan sebanyak RM500 akan diberi kepada pelajar anak Kelantan termasuk yang belajar di negeri lain. Syaratnya 9A ke atas bagi SPM, mumtaz (STAM) dan 4P A (STPM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pelajar-pelajar yang layak boleh membuat permohonan di Yayasan Islam Kelantan (Yik).

“Lebih RM700,000 peruntukan disediakan untuk tujuan itu, bagaimanapun ia bergantung kepada jumlah kecemerlangan pelajar,” katanya selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Sumbangan kepada pelajar cemerlang berkenaan diperkenalkan sejak 2006.

Dan bermula 2008 pelajar cemerlang anak tempatan yang belajar di negeri lain juga layak mendapat sumbangan itu.

Sementara itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob merakam penghargaan kepada dua pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang mencatat keputusan cemerlang tertinggi SPM diumumkan semalam.

Ain Atiya Azmi Nazmi dari MMP memperolehi 11A (10A+,1A) dari Maahad Muhammadi Perempuan dan Abdul Wafi Misbah memperolehi 11A (10+,1A-) dari Kolej Tahfiz Sains Kok Lanas.

Selain itu Faqihah Yusof dari Maahad Syamsul Maarif Perempuan Pulai Chondong mendapat 12A (9A+, 3A) dan Ghazian Amin Mukhtar (12A) dari Maahad Muhammadi Tumpat.

Seramai 4,828 pelajar sekolah Yik menduduki peperiksaan SPM tahun lepas dan 143 orang daripadanya memperolehi 9A hingga 12A.

Jabatan Pendidikan Kelantan semalam mengumumkan seramai 314 calon SPM yang mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Tahniah kepada pelajar sama ada dari sekolah Yik atau sekolah lain yang berjaya mendapat keputusan cemerlang SPM. Kepada yang tidak mencapai target bersabar kerana peluang untuk cemerlang masih terlalu luas,” kata Menteri Besar. - HARAKAHDAILY 4/3/2015

Share on Myspace