Paras air Empangan Gemencheh kini kritikal

BERNAMA | .

SEREMBAN: Paras air Empangan Gemencheh kini berada pada tahap kritikal apabila turun kepada 93.85 meter, sedangkan paras kritikal 95 meter dan paras minimum 86 meter.
    
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelan jangka pendek antaranya membeli air terawat daripada Syarikat Air Melaka Bhd bagi mengatasi krisis air ini.
    
"Empangan lain di negeri ini berada pada paras yang baik. Hanya Empangan Gemencheh sahaja yang terjejas kerana empangan tersebut tidak menerima air yang secukupnya untuk dirawat," katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.
    
Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) juga telah melaksanakan pelan jangka pendek iaitu membuat catuan air berjadual kepada penduduk di sekitar Tampin dan Rembau bermula hujung tahun lepas.
    
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh SAINS, Empangan Sg Terip mencatatkan jumlah takungan sebanyak 100.98 meter, Kelinchi 201.68 meter, Talang (Ulu Muar) 145.65 meter, Sg Beringin 135 meter, Ulu Sepri 135 meter dan Teriang 182.15 meter. - Bernama

Share on Myspace