Tiada pembalakan di hutan simpan sejak 2008

SALMAH MAT HUSAIN | .

 

KOTA BHARU: Kelantan mematuhi kuota penebangan balak seluas 5,960 hektar setahun seperti ditetap Majlis Tanah Negara, namun malangnya masih ada pihak mendakwa penjagaan hutan di negeri ini paling teruk.

Malah Kelantan juga menerima sijil pengurusan hutan terbaik oleh badan bebas antarabangsa.

Berdasarkan rekod sejak 1994 menebang hutan lebih rendah daripada kuota yang ditetapkan Majlis Perhutanan Negara.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata berdasar laporan dari agensi-agensi kerajaan tidak pula berlaku seperti didakwa pihak terbabit.

“Itu tuduhan mereka kita tak tahu sejauh mana dakwaan dibuat, tapi mengikut laporan jabatan berkaitan setakat ini tidak berlaku seperti didakwa.

“Laporan agensi berkaitan tidak meletakkan Kelantan teruk dari segi pengurusan balak, malah kita telah mendapat sijil dari badan peringkat antarabangsa,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, hari ini.

Penyelidik Sahabat Alam Sekitar (SAM) mendakwa Kelantan dikenal pasti sebagai negeri paling teruk dalam penjagaan hutan di Malaysia.

Meor Razak Meor Abdul Rahman dilapor mendakwa keluasan hutan simpan kekal yang ditebang untuk dijadikan hutan ladang di negeri itu adalah terbesar di negara ini.

Mohd Amar berkata tuduhan itu hanya pandangan mereka, sedangkan Kelantan membekukan lesen pembalakan di kawasan hutan simpan sejak 2008. - HARAKAHDAILY 4/3/2015

Share on Myspace