Sirul cerita pengalaman dalam PDRM - Mahfuz

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Hampir dua jam masa digunakan untuk berbual-bual dengan Koperal Sirul Azhar Umar di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) Villawood, Sydney semalam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi berkata jika pertemuan sebelum ini Sirul hanya berbual-bual dengan ibunya tetapi kali ini beliau menceritakan pengalamannya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Hampir dua jam kami berbual dan banyak perkara beliau ceritakan terutamanya pengalaman beliau di dalam PDRM.

"Beliau seorang yang berani dan taat kepada kerja serta arahan yang diberikan, saya cukup kagum dengan keberanian yang beliau ada," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, sikap berdisiplin dan tanggungjawab yang dimiliki Sirul membolehkan beliau rapat dan diberi tugas untuk mengiringi Perdana Menteri sebelum ditahan.

"Hanya berkisar kepada pengalaman beliau dan bagaimana beliau boleh dipilih menjadi anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

"Selain bercerita tentang pengalamannya, perbualan kami lebih terjurus kepada keluarganya," kata beliau lagi.

Menurut Mahfuz lagi, semasa pertemuan itu Sirul bersama rombongan sempat makan bersama-sama dengan rendang daging dan nasi yang dimasak oleh ibunya, Piah Samad. - HARAKAHDAILY 5/3/2015

Share on Myspace