Keliru GST: Taklimat khas kepada JMB, MC strata 7 Mac

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Umum mengetahui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 April depan.

"Cukai ini akan dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam setiap rantaian pembekalan termasuk import barang dan perkhidmatan," ujar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan.

Tambahnya, berbeza dengan sistem percukaian lama, GST merupakan cukai berperingkat yang akan melibatkan banyak pihak seperti pengilang, pemborong, pembekal dan akhirnya pengguna.

Menurutnya, ramai pakar ekonomi dan kewangan berpendapat bahawa GST akan membebankan pengguna.

Ini, katanya turut diakui oleh pihak Kerajaan Persekutuan bahawa kemungkinan besar pengguna akan menanggung beban akibat pelaksanaan GST termasuk pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) di kediaman berstrata.

Ini kerana, jelas beliau JMB dan MC disifatkan sebagai menjalankan suatu perniagaan seperti peruntukan Seksyen 3(2)(a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

"Walaupun GST dikecualikan ke atas yuran penyelenggaraan seperti yang diumumkan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM), pihak JMB dan MC masih terbeban dengan kenaikan kos perkhidmatan pihak ketiga seperti bil utiliti, kerja baikpulih, penyelenggaraan dan pembersihan," ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau ekoran banyak kekeliruan yang ditimbulkan, pihaknya mengambil inisiatif untuk menganjurkan Taklimat Khas Pelaksanaan GST Peringkat JMB dan MC pada 7 Mac bermula jam 9.00 pagi di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

"Pihak kami menjemput wakil daripada pihak KDRM untuk menjelaskan operasi teknikal pelaksanaan GST dalam konteks pengurusan perumahan berstrata," katanya.

Beliau menjelaskan, program itu bukan bermaksud kerajaan negeri menyokong pelaksanaan GST kerana ia tetap juga akan dilaksanakan.

"Justeru, pihak ahli jawatankuasa JMB dan MC atau pemilik kediaman berstrata digesa untuk hadir ke program ini," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 5/3/2015

Share on Myspace