1MDB: Najib 'U-turn' selepas didesak?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit ke atas 1MDB mendapat reaksi pelbagai daripada rakyat Malaysia dan pembangkang.
 
“Saya mengucapkan syabas kepada seluruh rakyat Malaysia yang berterusan menekan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga akhirnya beliau tidak ada pilihan untuk beralah sedikit dengan mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit ke atas 1MDB,” ulas Rafizi Naib Presiden/Setiausaha Agung PKR dalam satu kenyataan medianya.

Sebelum ini Rafizi menyatakan bahawa beliau pernah mengutus surat sebagai Ahli Parlimen pada 26 November 2014 kepada Ketua Audit Negara menggesa beliau untuk menjalankan audit ke atas 1MDB memandangkan sejumlah RM4 bilion dana dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah dipinjamkan kepada 1MDB dalam tahun 2011. Surat itu tidak pernah dijawab oleh Ketua Audit Negara dan beliau juga membuat kenyataan rasmi menolak keperluan audit dijalankan ke atas 1MDB.
 
Makanya, keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan sekali lagi bahawa desakan-desakan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat selama ini ada asasnya. Seperti juga dalam skandal yang lain (contohnya NFC), perkara yang ditimbulkan pada awalnya dinafikan mentah-mentah oleh Barisan Nasional tetapi akhirnya terpaksa membuat “U-Turn” dan melaksanakan juga apa yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat dari awal.
 
“Pun begitu, saya tidak yakin audit itu diarahkan dengan objektif untuk memastikan segala urusan 1MDB didedahkan kepada orang awam mengikut prinsip tata kelola dan ketelusan. Malah, saya bimbang audit itu hanyalah satu helah untuk mengheret Ketua Audit Negara mengiakan bahawa operasi 1MDB tidak membawa risiko kewangan kepada negara, seperti mana suatu ketika dahulu Ketua Audit Negara pernah dilibatkan untuk membersihkan nama NFC.
 
“Fungsi dan matlamat sesuatu audit ditentukan oleh skop dan terma audit. Audit penyata kewangan yang dilakukan oleh firma audit bebas misalnya adalah mengikut peraturan dan piawai audit dan laporan kewangan antarabangsa selain dari mengikut undang-undang (Akta Syarikat dan lain-lain). Oleh itu, sejauh mana audit yang bakal dijalankan ini berkesan dalam merungkai penyelewengan yang mungkin telah berlaku di dalam 1MDB bergantung kepada apakah skop dan terma audit yang telah ditetapkan.” Tegasnya beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Pandan.
 
Rafizi juga mencadangkan supaya skop dan terma itu dibentangkan di Parlimen dalam sidang akan datang supaya ia benar-benar menyeluruh dan bermatlamatkan ketelusan. Audit tersebut mestilah mempunyai objektif-objektif berikut:
 
1. Mengenal pasti ke mana dana telah dilaburkan, berapa yang dibelanjakan dan siapa penerima akhir (“final beneficiaries”) bagi setiap satu sen dana yang digunakan oleh 1MDB.
 
2. Mengenalpasti sama ada keputusan bagi setiap pelaburan dan perbelanjaan telah menepati tata kelola (“good governance”) dan berpatutan dengan harga/nilai pasaran.
 
3. Memastikan setiap pelaburan dan perbelanjaan membawa pulangan yang berpatutan yang melebihi nilai hutang yang telah diambil oleh 1MDB.
 
4. Mengenalpasti risiko kewangan yang dibawa 1MDB kepada ekonomi negara khususnya sektor perbankan dan pasaran bon/ekuiti serta langkah-langkah segera membendungnya.

5. Mengenal pasti individu terbabit dalam setiap perbelanjaan dan pelaburan yang dibuat 1MDB serta saranan tindakan yang perlu diambil terhadap mereka sekiranya terbukti berlaku penyelewengan atau pengurusan yang lemah.
 
“Jika audit itu tidak menyentuh mana-mana objektif di atas, saya yakin ia tidak akan memberi sebarang jawapan kepada pelbagai tanda tanya mengenai 1MDB selama ini. Saya juga percaya keputusan audit itu akan mengheret Ketua Audit Negara untuk mengiakan bahawa 1MDB bebas dari sebarang masalah seperti mana seluruh Jemaah Menteri diheret membela 1MDB apabila mereka menyatakan mereka berpuas hati dengan penjelasan pengurusan 1MDB minggu ini.” Ujarnya lagi.
 
Pada masa yang sama, arahan agar audit ini dijalankan tidak patut dijadikan alasan untuk tidak mengambil tindakan bagi pelanggaran undang-undang yang nyata telah dibuat oleh pengurusan 1MDB. – HARAKAHDAILY 5/3/2015

Share on Myspace