Pengerusi Asean: Malaysia perlu bertegas isu Rohingya

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

 

 

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengesa kerajaan Malaysia mengambil inisiatif yang lebih agresif sebagai pengerusi Asean untuk menyelesaikan isu penindasan ke atas etnik minoriti tertutama minoriti Rohingya di Myanmar.

Penindasan dan penafian hak kaum Rohingya sudah berlarutan sekian lama sejak 1962 sehingga sekarang apabila operasi tentera mengusir, merampas hak serta membunuh kaum Rohingya.

Berita penafian hak dan mendera kaum Rohingya di Myanmar sehingga ini terus kedengaran tanpa perubahan.

Kami berpandangan bahawa dasar tidak campur tangan tidak boleh digunapakai dalam isu Myanmar kerana isu yang dicetuskan oleh pihak berkuasa Myanmar sendiri telah melimpah ke negara lain seperti ribuan pelarian etnik Rohingya, Kaman dan Kaciin yang menjadi pelarian di Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Kerajaan Myanmar tidak boleh dibiar meneruskan agenda pembersihan etnik yang akhirnya akan memberi implikasi besar kepada kestabilan serantau.

Persidangan mengenai masa depan demokrasi di Myanmar yang dianjurkan oleh Mapim, UTM dan My Fellow baru-baru telah merumuskan bahawa hak minoriti di Myanmar hendaklah dikembalikan jika Myanmar mahu turut bersama dalam Asean sebagai rakan yang menyumbang kepada kemajuan rantau ini.

Sehingga kini, tanda-tanda menuju kepada pemerintahan awam secara demokratik tidak berlaku di Myanmar berdasarkan penindasan dan penafian hak yang masih berlanjutan.

Kami telah merumuskan bahawa peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean serta anggota yang dihormati di dalam OIC dan Majlis Keselamatan PBB hendaklah dimanfaat sepenuhnya untuk memberi pengaruh kepada Myanmar agar menghentikan genosid yang berterusan ke atas kaum minoriti di Myanmar.

Kami amat kesal dan mengutuk dasar pemerintah Myanmar yang terus bersekongkol dengan puak militan dan ekstrimis Buddha yang melancarkan kempen membenci Islam dan umat Islam di Myanmar, sehingga mencetuskan pertembungan sektarian yang meragut ribuan nyawa kaum minoriti Rohingya. Penderitaan yang berterusan dialami kaum Rohingya Muslim sudah diisytihar sendiri oleh pihak PBB sebagai kaum yang paling tertindas di dunia.

Kami mengesa supaya hak kewarganegaraan dan hak layanan yang sama perlu dijadikan isu utama yang boleh menyelesaikan masalah penindasan ke atas etnik Rohingya dan kaum minoriti yang lain di Myanmar.

Lantaran itu, kami mengesa kerajaan Malaysia menggunakan pengaruhnya untuk terus mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Myanmar sehingga keharmonian antara kaum dapat diwujudkan di negara tersebut dan Asean benar-benar boleh dibangunkan sebagai rantau yang aman dan maju.

Kami juga mengesa supaya hak pelarian kaum minoriti Myanmar terutama Rohingya yang berada di beberapa negara Asean terutama di Malaysia dan Thailand turut dijamin. Hal ini penting agar persoalan kehidupan harian mereka seperti pendidikan anak-anak, perawatan kesihatan serta pekerjaan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan  sementara isu di Myanmar dapat diselesaikan.

Kerajaan Malaysia perlu menimbangkan kemudahan kanak-kanak pelarian Rohingya untuk mendapat pendidikan sempurna bagi memastikan pembangunan diri dan masa depan mereka terjamin. Tanpa peluang mendapat pendidikan akan mendedahkan mereka serta masyarakat tempatan kepada implikasi sosial yang serius.

Kami menegaskan bahawa Malaysia perlu mengangkat isu pemerdagangan manusia pelarian Myanmar antara sempadan Thailand dan Malaysia yang semakin berleluasa akibat wujudnya sindiket yang melibatkan pelbagai pihak. Pihak berkuasa mesti melaksanakan penguatkuasaan yang tegas untuk memerangi sindiket yang menganiaya pelarian.

Kami juga mengesa pihak keselamatan Malaysia melakukan penyiasatan terhadap aduan wujudnya kumpulan penjenayah yang memasuki Malaysia dari Myanmar dengan tujuan melakukan pemburuan ke atas etnik Rohingya. – HARAKAHDAILY 5/3/2015

Share on Myspace