Enakmen Jenayah Syariah: Badan agama sepi

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Sepatutnya pihak berkuasa agama yang membawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) ke parlimen bagi membolehkan ia dilaksanakan di peringkat negeri.

Sebaliknya sekarang pihak berkuasa agama menyepikan diri. Memandangkan tugas itu terbiar begitu lama, PAS mengambil tanggungjawab selepas memiliki kuasa politik di Kelantan pada 1990.

Ekoran itu Dewan Undangan Negeri Kelantan (Dun) meluluskan enakmen berkenaan pada Oktober 1993. Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan lagi kerana ada halangan di peringkat parlimen.

Bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Datuk Dr Johari Mat berkata apabila tanggungjawab itu dipikul pemimpin politik tentunya ada pihak menganggap ia berselindung di sebalik mesej politik pula.

“Apabila perkara itu dibawa parti politik akan dilihat di sisi lain pula. Sedangkan tanggungjawab tersebut terpikul semua orang Islam lebih-lebih penguasa agama.

“Sepatutnya tidak perlu menunggu pemimpin politik yang mengusahanya. Malangnya pihak berkuasa agama Islam hanya membisu sahaja,” katanya di sini.

Kelantan berusaha membawa usul persendirian ke parlimen bagi membolehkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dapat diperluaskan bidang kuasanya di negeri ini.

Akta itu sekarang hanya menghadkan hukuman bagi kesalahan jenayah tidak melebihi penjara 3 bulan, denda RM5,000 atau enam sebatan.

Sebaliknya sekiranya kelulusan diberi parlimen di bawah Pekara 76A membolehkan negeri-negeri lain juga menguatkuasa perundangan syariah.

Perkara 76A dan 80 Perenggan 4 membenarkan kerajaan Persekutuan memberikan kuasa kepada negeri menggubal undang-undang berkaitan jenayah yang terdapat dalam Senarai Persekutuan.

Dr Johari yang juga anggota Dewan Negara berkata, Enakmen Jenayah Syariah II (1993) berpangkal dari enakmen sama digubal 1985.  

“Apa yang dilakukan kerajaan Kelantan sebagai kesinambungan terhadap anekmen yang telah dilulus pada 1985. Ia bukan perkara baru dan tidak perlu diributkan dengan pelbagai kenyataan,” katanya.

Oleh itu kata beliau setiap anggota parlimen Islam perlu menyokong usul berkenaan apabila dibawa ke parlimen kerana menjadi tanggungjawab setiap Muslim.

“Ini bukan soal parti politik semata-mata, sebaliknya tanggungjawab dan peranan terhadap agama. Sepatutnya semua pihak berkuasa agama di negara ini menyokong usaha dilakukan kerajaan Kelantan,” ujarnya.

Baru-baru ini seorang ahli akademik Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid mencadangkan EKJS dibahas secara terbuka di media elektronik melalui wacana, diskusi dan forum bagi meningkatkan kefahaman masyarakat. - HARAKAHDAILY 5/3/2015

Share on Myspace