Brunei Airlines: Tanpa alkohol, tidak jejas bisnes

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan milik kerajaan Brunei, Royal Brunei Airlines yang mengekalkan ciri-ciri Islamik di dalam operasinya dan hal itu bukanlah halangan untuk syarikat itu terus maju seiring dengan syarikat penerbangan lain.

Menurut Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran Royal Brunei Airlines Semenanjung Malaysia Noor Azmi Jamaludin (kanan) sehingga kini ciri-ciri islamik yang dikekalkan tidak menjejaskan perniagaan mereka bahkan ia semakin mendapat tempat oleh semua pihak tidak kira penumpang Islam atau bukan Islam.

Malah katanya, selaras dengan Brunei sebagai sebuah negara Islam sudah tentu ia menjadi teras kepada syarikat penerbangan ini.

"Berpakaian seksi bukan imej sebenar Royal Brunei Airlines. Dan ia tidak menjamin kemajuan perniagaan kita," katanya ditemui Harakahdaily ketika Majlis Penjenamaan Semula Royal Brunei Airlines di ibu pejabatnya di Menara UBN hari ini.

Beliau turut menekankan sajian makanan yang disediakan pihaknya kepada penumpang adalah seratus peratus halal tidak kira di mana penerbangan berlepas sama ada di China, Dubai atau London.

Bukan itu sahaja katanya penerbangannya juga tidak sama sekali menyediakan minuman beralkohol kepada penumpang.

"Setiap kali penerbangan  hendak berlepas, para krew kami akan memastikan ada bacaan doa perjalanan. Perkara-perkara ini bukan halangan untuk kita tarik penumpang pelbagai bangsa dan agama bersama kita," katanya.

Dari segi pakaian pramugari, katanya pihak penerbangan telah menetapkan baju berwarna hijau lembut,  tudung kepala dan kain labuh atau seluar panjang.

Penjenamaan semula Royal Brunei Airlines di seluruh negara meliputi uniform pramugari, pramugara kakitangan pemasaran, logo dan ruang pejabat.

Pada hari ini juga, Royal Brunei Airlines turut memperkenalkan pesawat terkini iaitu Boeing 787 yang akan menjalankan penerbangan harian ke Melbourne, Dubai, London dan Jeddah. Perasmian ini disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Brunei di Malaysia Datuk Paduka Alaihuddin. – HARAKAHDAILY 6/3/2015

Share on Myspace