1MDB: Kanser tahap empat, kabinet pula bersekongkol

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1 Malaysia Development Berhad (1 MDB) membuktikan bahawa sememangnya 1MDB ini dilanda masalah keraguan integritinya.

"Arahan ini dibuat hanya setelah kita digemparkan dengan pendedahan oleh Sarawak Report bahawa wujudnya penipuan dalam urusniaga 1MDB," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan.

Katanya, yang menghairankan kita, pada masa sama PM mendakwa kabinet telah berpuas hati dengan penjelasan oleh 1MDB dan Deloitte serta berkeyakinan bahawa tidak terdapat sebarang salah laku dalam 1MDB.

Tambahnya, dalam keadaan 1MDB mengalami kanser di tahap empat ini, kabinet pula ikut bersekongkol dengan Perdana Menteri.

Sepatutnya, kata beliau ahli kabinet bertindak dengan berani menegur PM berkaitan 1 MDB ini demi menyelamatkan wang negara dan sistem kewangan negara daripada terus menanggung beban hutang yang mencecah RM 43 Billion.

Mahfuz berkata, pihak 1MDB hanya tahu menafikan tuduhan yang dilemparkan yang dikatakan berunsur politik dan spekulasi tidak berasas yang mempunyai potensi menjejaskan ekonomi, namun pada hakikatnya kegagalan menguruskan 1 MDB itulah yang akan membawa bencana kepada ekonomi negara ini.

Ini, ujar beliau terbukti apabila syarikat pelaburan nasional, cetusan PM Najib ini telah mengalami kerugian pada tahun lalu dan hampir-hampir gagal membayar hutangnya sehingga melemahkan ringgit dan pasaran bon Malaysia.

Bahkan, kata Mahfuz lagi laporan daripada Reuters menyatakan bahawa 1MDB mungkin dibubarkan dalam pelan pembayaran balik hutang-hutangnya.

"Jadi, apa lagi yang hendak dibanggakan dengan 1MDB ini, tindakan kerajaan BN mempertahankannya lagi tidak ubah ibarat 'memikul biawak hidup'," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS. - HARAKAHDAILY 6/3/2015

Share on Myspace