Bicara kes Nizar didakwa fitnah Najib bermula 10 Jun

BERNAMA | .

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tiga hari bermula 10 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan kes fitnah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hampir tiga tahun lepas.

Hakim Norhayati Mat menetapkan tarikh berkenaan selepas kes membabitkan ketua pembangkang Perak yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Changkat Jering itu disebut semula di hadapannya hari ini.

Mohammad Nizar, 59, yang beralamat di Sungai Rokam, didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perak itu didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan tersebut akan merosakkan nama baik Najib.

Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Mohammad Nizar daripada pertuduhan memfitnah Najib selepas membenarkan bantahan awal pihak pembelaan yang diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berhubung isu pengadu dalam kes itu.

Hakim Rihaida Rafie memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes itu cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa yang sebenarnya membuat aduan. - Bernama

Share on Myspace