Faktor usia, Piah sukar lawat Sirul lagi di Australia

MUHAMMAD FAIZAL | .

 

KUALA LUMPUR: Piah Samad, 74, hari ini melahiran kekecewaan berhubung proses perbicaraan ke atas anaknya Sirul Azhar Umar.

Beliau ketika ditemubual media Australia pagi ini mendakwa wujud ketidakadilan sepanjang perbicaraan terhadap anaknya.

"Tak adil dan kecewa sepanjang perbicaraan yang dilakukan terhadap Sirul.

"Hampa sebab banyak yang tidak adil sepanjang perbicaraan," kata beliau yang dilaporkan pegawai yang mengiringi misi 'C4 Yourself' menerusi WhatsApp kepada Harakahdaily.

Piah juga melahirkan yakin tentang keselamatan anaknya jika Sirul terus berada di Australia berbanding Malaysia.

Ketika ditanya apa yang dilakukan Sirul pada Oktober 2006, beliau memberitahu anaknya tidak pernah melakukan apa-apa.

"Makcik pernah tanya dia sendiri dan dia sendiri cakap dia tak buat apa-apa.

"Dia bekerja sebagai polis tahu tanggungjawab dan anak yang baik, kalau di kampung dia banyak tolong orang.

"Bila berlaku macam ni, orang-orang kampung yang mengenalinya ramai beri sokongan," kata beliau.

Piah turut berasa terkejut dan hampa apabila sumbangan Sirul di dalam pasukan polis tidak dihargai.

"Dia dan kerja lama tetapi bila kes ini berlaku dan Sirul dilakukan sedemikian memang terkejut dan hampa.

"Walaupun Sirul pernah berjasa dan mengenali pimpinan negara termasuk bekas Perdana Menteri dulu dan sekarang, tidak pernah ada seorang pun antara mereka datang berjumpa makcik atau Sirul," kata beliau lagi.

Menurut Piah dengan faktor usia sekarang akan menyukarkan beliau untuk pergi lagi ke Australia melawat anaknya.

Beliau berharap Kerajaan Australia memberi jaminan keselamatan sepenuhnya agar Sirul dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang. - HARAKAHDAILY 6/3/2015

Share on Myspace