Pelancaran sambutan 7 tahun PR Perak 8 Mac

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tanggal 8 Mac 2008 adalah tarikh bersejarah dalam catatan peristiwa-peristiwa penting perjalanan politik negara Malaysia.

Menurut Setiausaha Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abd Malek berkata, buat pertama kali parti pemerintah (BN) kehilangan undi popular majoriti dan serentak gagal membentuk kerajaan di empat buah negeri.

Tambahnya, 9 Mac 2008, 3 parti; PAS, DAP dan PKR melalui isyarat politik reformis daripada pengundi telah bersetuju untuk membentuk pakatan politik dan secara rasmi pada 17 Mac 2008 Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah dibentuk yang mana sejarah itu bermula di Perak.

"Sejak PR terbentuk sebagai satu fenomena politik baru, rakyat sudah mempunyai akses kepada pilihan dua gabungan politik yang bermanfaat kepada rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, buat pertama kali kerajaan BN telah memulakan langkah-langkah pembaharuan politik seperti perhatian kepada Sabah dan Sarawak, kajian kepada akta-akta yang menindas dan juga insentif baru seperti BR1M dan lain-lain.

Namun, katanya masih banyak agenda pemerkasaan rakyat melalui reformasi undang-undang, pengurusan ekonomi dan sosial yang perlu dilakukan.

Maka, tegas beliau perjuangan rakyat melalui platform Pakatan Rakyat masih sangat relevan dan diperlukan.

Pakatan Rakyat Perak, jelasnya akan terus menjadi penggerak dan pemain utama dalam meneruskan perjuangan suci itu.

"Kami mengakui terdapat cabaran dalam memperkasakan PR. Setelah 7 tahun, menjadi kewajiban kepada semua pendukung PR untuk memberikan nafas baru dan daya aktivisme tambahan ke arah meneruskan perjuangan rakyat," katanya.

Maka dengan itu, ujar beliau PR Perak ingin mengajak rakyat mengenang tarikh 8 Mac 2008 dengan terus beriltizam melakukan reformasi politik ke arah Malaysia yang lebih cemerlang.

Justeru, katanya untuk enam bulan sekurang-kurangnya, PR Perak akan menganjurkan pelbagai aktiviti rakyat bermula dengan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun 7 tahun Pakatan Rakyat pada 8 Mac ini jam 9.00 malam di Markaz PAS Titi Serong, Parit Buntar dengan tema ‘Tekad Membela Rakyat’. - HARAKAHDAILY 6/3/2015

Share on Myspace