MH370: Pengurusan baru MAS terus beri sokongan

NIK NURFAQIH NIK WIL & MOHD RAZMAN ABDULLAH | .

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) memberi jaminan sokongan kepada waris penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370 yang hilang, tidak akan terjejas, walaupun syarikat itu diambil alih MAS NewCo kelak.
    
Ketua pegawai eksekutifnya Ahmad Jauhari Yahya menegaskan bahawa walaupun persaraan beliau "akan tiba tidak lama lagi", tetapi tanggungjawab itu tetap akan ditunaikan dan diteruskan di bawah pengurusan baharu MAS.
    
Dalam wawancara selama setengah jam dengan Bernama, beliau berkata MAS akan berusaha untuk membantu waris terbabit dengan sedaya upayanya dan dengan cara yang dianggap paling wajar.
    
"Kami akan berusaha dengan sedaya upaya... Kami sendiri pun terjejas oleh kejadian ini serta kehilangan sahabat dan rakan sekerja, yang kami anggap sebagai keluarga sendiri," katanya sambil menjelaskan bahawa syarikat penerbangan itu akan mengadakan majlis memperingati ulang tahun kejadian berkenaan secara khusus bersama para waris Ahad ini.
    
Setakat ini, MAS memberi bantuan kewangan secara terus, menyediakan Pusat Sokongan Keluarga di Kuala Lumpur, pusat bantuan keluarga di Kuala Lumpur dan Beijing serta bantuan kaunseling lain kepada waris mangsa.
    
MAS NewCo atau syarikat baharu akan bertanggungjawab membaik pulih sepenuhnya syarikat penerbangan kebangsaan itu hingga ia melakar kejayaan.
    
Entiti MAS sedia ada akan diletakkan di bawah 'Oldco' atau syarikat lama, manakala entiti yang disusun semula akan diletakkan di bawah 'Newco' mulai 1 Julai 2015.
    
Sementara itu, ditanya mengenai 'jawapan' yang dituntut oleh para waris mangsa, Ahmad Jauhari berkata MAS tidak pernah cuba menyembunyikan sebarang perkara dan bersedia berkongsi semua maklumat dengan mereka.
    
"Bagaimanapun, kami bukanlah pihak yang dapat memberi jawapan tentang perkara teknikal kerana kami tidak bertanggungjawab bagi kerja mencari. Mungkin kami memperoleh jawapan tentang kerja mencari itu lebih awal daripada pihak lain, tetapi kami tetap tidak bertanggungjawab bagi kerja itu.
    
"Kami boleh beri maklumat tentang pesawat berkenaan dan itu sajalah yang kami ada dan dapat kami lakukan...Kami hanya dapat beri apa yang kami ada dan kami tahu," katanya.
    
Ahmad Jauhari mengucapkan terima kasih kepada staf MAS dan orang ramai atas sokongan tidak terhingga mereka, yang telah membantu syarikat penerbangan kebangsaan itu untuk beroperasi hingga kini.
    
Pada 8 Mac tahun lepas, sebuah pesawat MAS jenis Boeing 777, yang membawa 239 orang, hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur.
    
MAS kehilangan 12 anak kapal dan seorang petugas MASkargo dalam kejadian itu. Pada 29 Jan, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan kejadian itu sebagai suatu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 orang yang menaiki pesawat itu dianggap telah terkorban.
    
Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia juga menegaskan bahawa usaha mencari Penerbangan MH370 tetap diberi keutamaan.
    
Di samping tragedi yang menimpa Penerbangan MH370, Penerbangan MAS MH17, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam pula ditembak jatuh di wilayah timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas dan mengorbankan kesemua 298 orang yang dibawanya.
    
Dalam tempoh kurang enam bulan, MAS mengalami dua kejadian menyedihkan, yangmengorbankan lebih 500 nyawa dan hampir 30 anak kapal seniornya. Ia disifatkan sebagai kejadian yang belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan. - BERNAMA

Share on Myspace