Lagi kejadian Muslim mati ditembak di Amerika

HARAKAHDAILY | .

SEBUAH kumpulan sokongan Muslim AS telah meminta pihak penguatkuasa undang-undang AS untuk menangani kebimbangan masyarakat mengenai apakah yang mendorong para pembunuh ke atas seorang muslim di Texas berusia 36 tahun yang ditembak pada hari Khamis ketika mangsa mengambil gambar salji.

"Kerana insiden baru-baru ini yang mensasarkan Muslim Amerika, termasuk pembunuhan terhadap tiga pemuda Muslim di North Carolina, kami mendesak pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang untuk mengatasi kebimbangan masyarakat dalam kes ini," ujar Alia Salem, Pengarah Eksekutif Cabang North Texas dalam organisasi Dewan Hubungan Amerika-Islam (CAIR-DFW) dalam satu kenyataan, Jumaat (semalam).

Laporan di media sosial mengatakan bahawa Ahmed Al-Jumaili bersama isterinya, yang memakai tudung dan jilbab, diserang dengan tembakan oleh pihak yang belum dikenal pasti.

Polis berkata, ada saksi yang melihat dua laki-laki berjalan menuju arah yang bertentangan dengan kedua-dua mangsa dan kemudian menembak Al-Jumaili.

Selepas tembakan itu, isteri mangsa menelefon 911 untuk melaporkan suaminya ditembak.

Beberapa kereta yang diletakkan di kompleks apartmen juga terkena tembakan, termasuk sebuah lori dengan lapan peluru. Pemilik lori berkata dia mendengar kira-kira 12 tembakan.

"Saya tidak peduli tentang lori kerana mudah untuk membeli sebuah lagi atau membaikinya tetapi kehidupan orang itu, anda tidak boleh memperbaiki orang itu," ujar pemilik lori, Jose Ortiz.

"Dia tidak akan kembali," tambahnya dipetik Eramuslim.com.

Ini bukan kejadian tembakan pertama yang menyasarkan orang Islam Amerika.

Bulan lalu, tiga anak muda Muslim Amerika, Deah Shaddy Barakat, 23, isterinya Yusor Mohammad Abu-Salha, 21, dan adiknya Razan Mohammad Abu-Salha, 19, ditemui mati di sebuah kompleks kondominium di luar kampus.

Lelaki bersenjata yang dikenal pasti sebagai Craig Stephen Hicks, 46, dilaporkan menyerah diri kepada polis. 

Share on Myspace