Audit forensik 1MDB - terima kasih Muhyiddin

A KADIR JASIN | .

KEMUNCULAN (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi sebagai pembela utama Perdana Menteri, (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak, dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad tidak memeranjatkan.

Menteri Dalam Negeri merangkap Naib Presiden (1) Umno itu memerlukan Mohd Najib dalam krisis yang dihadapinya sekarang berkaitan suratnya kepada Biro Penyiasatan Pusat Amerika Syarikat (FBI) mengenai orang disyaki Paul Phua Wen Seng.

Ahmad Zahid dilaporkan menuduh pihak-pihak yang mempertikaikan urus niaga syarikat pelaburan strategik kerajaan itu sebagai bermotifkan politik. Beliau menyokong kenyataan bosnya, (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak, Rabu lalu bahawa penerangan 1MDB dan juruaudit luarnya, Deloitte, tidak mendedahkan sebarang penyelewengan dan kepincangan urus niaga.


Ahmad Zahid tuduh pengkritik 1MDB bermotif politik

Tetapi dua hari selepas itu, ketua nombor dua beliau, Timbalan Perdana Menteri, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin mengeluarkan kenyataan yang berbeza dan tegas.

Menurut laporan Bernama, beliau mahu audit forensik dilakukan ke atas 1MDB sejak penubuhannya (pada tahun 2009) dan Jawatankuasa Akaun Awam Parlimen (PAC) menyiasat 1MBD serta-merta tanpa menunggu laporan Ketua Juruaudit Negara. (Baca di sini).

Alhamdulillah, itulah kaedah yang tepat. Isu 1MDB memerlukan “forensic auditing” macam doktor menyiasat sejarah pesakit atau membedah mayat. Terima kasih Muhyiddin dan hendaknya janganlah Ahmad Zahid menuduh tindakan Timbalan Presiden Umno itu bermotif politik!

Jawapan kepada tindakan Muhyiddin mudah saja. Apa yang dikatakan taklimat oleh Arul Kanda Kandasamy yang baru beberapa minggu menjadi Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB dan juruaudit luar 1MDB, Deloitte semestinya amat terhad.


Muhyiddin mahu audit forensik ke atas 1MDB

Arul Kanda hanya berhak bercakap dan bertanggungjawab kepada apa yang beliau ketahui dan lakukan sejak mengambil alih teraju 1MDB pada 5 Januari lalu manakala Deloitte hanya untuk jangka waktu menjadi juruaudit luar 1MDB mulai Disember 2013.

Anggota Kabinet yang faham undang-undang dan peraturan tentulah tidak puas hati dengan maklumat terhad itu sedangkan mereka diminta turut bertanggungjawab terhadap syarikat itu. Mereka tentunya tidak mahu dituduh bersubahat kemudian hari.

Orang putih kata, splitting hair. Bayangkan bagaimana susah hendak membelah sehelai rambut. Mungkin benar akaun 1MDB bagi tempoh singkat diaudit oleh Deloitte memenuhi piawaian perakaunan yang digunakan di negara kita. Kalau tidak, masakan Deloitte berani mengesahkannya. Cuma adakah pengesahan itu bersyarat (qualified) atau tanpa syarat (unqualified). Kalau bersyarat, ertinya ada perkara yang tidak dapat disahkan oleh juruaudit luar.


Pembabitan Arul Kanda dalam 1MDB amat terhad

Ahmad Zahid boleh bantu penyiasatan kerana beliau seorang usahawan dan eksekutif perniagaan yang cukup berpengalaman. Sebagai bekas usahawan dan eksekutif korporat yang berjaya dan pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Kretam Berhad, sebuah syarikat umum yang disenaraikan di Bursa Malaysia, beliau tentu tahu laporan dan akaun tahunan hanya memuatkan fakta dan perangkaan asas. Ia tidak mendedahkan modus operandi syarikat atas alasan ia rahsia perniagaan (trade secret).

Saya harap Ahmad Zahid gunakan kepakaran beliau sebagai bekas eksekutif OCBC, Pengerusi Bank Simpanan Nasional, eksekutif kanan PNB/ASN, pengarah eksekutif Scandinavian Motors Sdn Bhd, pengerusi Tekala Corporation Berhad, pengerusi Seng Hup Berhad, pengerusi Ramatex Berhad dan pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad bagi melakukan pencerahan terhadap kekusutan 1MDB dan bukan sekadar membuat kenyataan politik murahan.

Bukan Semua Melayu Jahil

Orang yang tidak tahu apa-apa mengenai perniagaan, perakaunan, modus operandi urus niaga dan rahsia perniagaan tentulah akan terangguk-angguk mengiakan hujah Ahmad Zahid dan ahli Kabinet yang sependapat dengan beliau, apatah lagi kalau mereka ahli dan penyokong tegar Umno.

Tetapi hari ini, hatta di kalangan orang Melayu dan orang Umno pun ramai yang berniaga, menjadi eksekutif korporat, juruaudit dan pensyarah ekonomi. Jadi mereka boleh bezakan antara pasir dan permata.

Natijahnya, pemimpin Umno janganlah sangka semua Melayu “bangang” (meminjam istilah Perdana Menteri) dalam hal ekonomi dan perniagaan maka boleh diperkotak-katikkan.

Umno perlu belajar agar lebih pandai berkomunikasi dengan Melayu yang makin cerdik. Adalah kesilapan besar bagi Umno memajukan orang Melayu melalui pelajaran dan ekonomi, tetapi berkomunikasi secara dangkal kerana menyangka orang Melayu semuanya ikut cakap dan percaya omongan mereka.

Sekadar anggota kabinet kelas ayam dan ekonomi kangkung, saya rasa adalah amat sukar bagi Umno kembali meyakinkan majoriti orang Melayu dan mengembalikan keyakinan orang bukan Melayu untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Umumnya, pengkritik dan penganalisis bukan sekadar mempertikaikan akaun 1MDB. Mereka juga mengkritik dan menganalisis perkara-perkara yang tidak dijelaskan dalam laporan dan akaunnya – mungkin atas alasan rahsia perniagaan.

Antara yang dipersoalkan adalah hutang-piutangnya yang sangat besar (melebihi RM40 bilion), pengaliran modal, pembelian aset yang melebihi harga pasaran, pembawakeluaran modal untuk dilaburkan di Cayman Islands, kesukarannya membayar balik hutang kepada bank-bank tempatan, dakwaan pembabitan “billionaire” T Ananda Krishnan menyelesaikan hutangnya dan paksaan ke atas syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi pinjaman kepada 1MDB dengan membeli bon/sukuk yang dikeluarkannya dan pembabitan pihak-pihak misteri seperti Jho Low dan PetroSaudi.

Kalau tugas Ketua Juruaudit Negara sekadar “verify” (mengesahkan) akaun lMDB, ia tidak lebih daripada “rubber stamp”. Tetapi sekiranya KJN diberi kuasa khas atau beliau sendiri berani mengambil inisiatif melakukan “forensic auditing” barulah ada harapan kita menjejaki “money trail” untuk mengetahui siapa buat apa dan dapat apa.

Penyelesaian Ala Idris Jala?

Penyelesaian masalah hutang dan kerugian 1MDB pun bukanlah sekadar memperlondehan aset (asset tripping) ala (Datuk Seri) Idris Jala.

Idris Jala petah berhujah. Untuk itu saya tabik spring kepada beliau. Bagi mengatasi masalah kerugian dan kehabisan modal MAS, beliau menjual asetnya dengan melabelkannya “asset unbundling”. Realitinya kalau setakat memjual harta yang orang lain buat untuk buat keuntungan luar biasa, siapa pun boleh. Tetapi apa yang terjadi kepada MAS selepas Idris Jala londehkan asetnya?

Harap-harap “asset stripping” bukanlah model yang akan Arul Kanda laksanakan. Sekadar jual tanah atau buat usaha sama, mudahlah. 1MDB banyak mendapat tanah murah daripada kerajaan di Kuala Lumpur – tapak TRX di Jalan Tun Razak dan tapak Pangkalan TUDM di Sungai Besi. Anehnya, apabila membeli aset swasta seperti penjana elektrik bebas (IPP) dan tanah di Pulau Pinang 1MDB bayar harga tinggi.

Ramai tauke-tauke hartanah yang licik macam (Tan Sri) Liew Kee Sin (Eco World) dan (Tan Sri) Desmond Lim Siew Choon (Pavilion Reit) – sekadar contoh sahaja – yang pastinya berminat membeli atau menjadi rakan kongsi 1MDB.

Bagi yang tidak tahu, Desmond Lim terbabit dengan penswastaan tapak Sekolah Menengah Perempuan Bukit Bintang yang dimajukannya menjadi The Pavilion. Tentu beliau amat berminat dengan tanah 1MDB. Malah ada laporan sejak tahun 2010 lagi yang mengatakan beliau berminat berkongsi dengan 1MDB.

Liew pula menjadi terkenal seantero dunia kerana berkongsi dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) majukan SP Setia. Setelah keluar dari SP Setia beliau menyertai Eco World. Baru-baru ini UDA ambil Eco World sebagai rakan kongsi majukan tanah Penjara Pudu. Liew juga tentu berminat “menyelamatkan” 1MDB.

DBKL dan Syarikat Perumahan Negara pun buat macam itu juga apabila mereka mengambil YTL sebagai rakan kongsi dan peneraju projek Pantai HillPark atau macam Ananda lakukan dengan penswastaan padang lumba kuda Jalan Ampang. Beliau “memodalkan” tapak itu dan jual sahamnya kepada Petronas bagi mendirikan KLCC.

Kalau 1MDB benar-benar syarikat pelaburan strategik ia tentulah mempunyai “business model” yang cukup unggul, berdarjat dan mengatasi kaedah perniagaan biasa. Ia sewajibnya membantu kerajaan dan negara menjana kekayaan baru, bukan membeli aset yang sedia ada seperti IPP atau bersaing dalam sektor hartanah yang sudah pun diceburi oleh syarikat GLC lain dan sedang mengalami lebihan bekalan yang teruk.
Bukan Semua Bermotif Politik

Masalah dan kontroversi 1MDB tidak selesai semata-mata kerana Kabinet tidak mengesan sebarang perbuatan salah setelah mendengar taklimat 1MDB dan Deloitte.


Deloitte baru setahun jadi juruaudit 1MDB

Dan bukan semua pengkritik dan penganalisis yang mempersoalkan modus operandi dan kerahsiaan (secrecy) 1MDB bermotif politik.

Yang bermotif politik adalah pembangkang yang sememangnya mahu menjatuhkan kerajaan Umno/BN dan orang Umno/BN sendiri yang tidak mahu diperdaya atau dituduh bersubahat dalam hal 1MDB.

Yang lainnya adalah pemerhati dan penganalisis yang faham selok-belok perniagaan dan nampak banyak isu luar biasa dan mencurigakan mengenai 1MDB.

Mereka tahu masalah 1MDB kalau tidak dibongkar dan diatasi boleh mencetuskan wabak sistemik yang sangat buruk ke atas ekonomi, fiskal, perbankan dan mata wang negara.

Wallahuaklam. - http://kadirjasin.blogspot.com/

Share on Myspace