Insiden pukul: PAS tingkat keselamatan pemimpin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "PAS mengutuk sebarang serangan ke mana-mana ahli politik," tegas Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu, katanya PAS menggesa pihak polis melakukan siasatan terperici berhubung insiden serangan yang dialami oleh AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan pembakaran kereta Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli baru-baru ini.

Di samping itu, ujar beliau pemantauan rumah pimpinan politik dirasakan perlu ditingkatkan kerana kedua-dua kejadian tersebut berlaku dalam kawasan kediaman.

"Kejadian serangan kepada ahli politik pembangkang mengingatkan kita kepada tragedi hampir sama yang berlaku dalam tahun 60-70an, sebagaimana yang berlaku kepada Abdul Samad Gol yang ditetak dengan kapak bungkus sekembalinya dari ceramah.

"Dalam era politik kini, insiden begini tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, ia menggambarkan masih wujud suasana tidak selamat di kalangan ahli politik.

Sehubungan itu, ujar beliau lagi PAS menggesa pihak polis melakukan siasatan terperinci dan menghadapkan penjenayah ke muka pengadilan.

"Kita juga menggesa pihak yang mempunyai bukti agar tampil membantu pihak polis," ujarnya.

Tambahnya, tindakan itu penting bagi menghentikan pelbagai tohmahan dan spekulasi liar pelbagai pihak yang dimainkan dalam media sosial.

Menurut beliau, andaian dan tohmahan akan mengeruhkan lagi keadaan dan membuka peluang kepada mereka yang berniat jahat untuk mengambil kesempatan untuk mendapat modal politik.

Sementara itu, ujarnya PAS akan berusaha bagi meningkatkan kawalan keselamatan melalui Unit Amal dan unit keselamatan parti terutama menjelang pemilihan bulan Jun nanti bagi mengelak golongan yang akan mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan antara satu sama lain.

Katanya, PAS sedar ada pihak yang sedang menangguk di air keruh sempena pemilihan parti di Jun.

"Oleh itu, saya sarankan agar ahli-ahli PAS dan pemimpin jangan memberi peluang kepada kumpulan ini dengan mengeruhkan keadaan," ujarnya lagi.

PAS, jelasnya ialah sebuah parti Islam yang menerima sistem demokrasi.

"Kitalah parti yang sepatutnya menunjukkan ketinggian disiplin, akhlak, sikap kerterbukaan melebihi parti-parti lain.

"Berkempenlah secara sihat dan ikutlah saluran demokrasi yang luas yang diberikan oleh parti," kata Tuan Ibrahim lagi.

Justeru, katanya tonjolkan kebaikan diri, dan hormatilah saingan masing-masing tanpa perlu melakukan apa-apa di luar batas disiplin parti.

Tambah beliau, itulah akhlak Islam yang harus ditunjukkan oleh setiap ahli PAS kepada semua untuk menjaga nama baik Islam dan parti. - HARAKAHDAILY 7/3/2015

Share on Myspace