PAS desak The Malaysian Insider mohon maaf

DATUK MAHFUZ OMAR | .

SAYA melahirkan kekesalan atas berita bergambar palsu yang disiarkan oleh portal berita The Malaysian Insider bahawa kononnya peserta demonstrasi Kita Lawan yang berkumpul di hadapan Pejabat Agung PAS memegang banner dan poster yang bertulis “Undur Hadi” iaitu merujuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Gambar itu dimasukkan pada kemas kini berita tersebut pada jam 2.37 petang.

Keterangan di bawah gambar itu mengatakan ia adalah gambar asli milik The Malaysian Insider sedangkan pada hakikatnya ia adalah gambar ‘superimpose’ yang telah diubah perkataan di dalamnya.

Sesungguhnya, penyiaran berita palsu yang bertujuan provokasi dan memecahbelahkan Pakatan Rakyat ini amat memalukan sekaligus menjatuhkan kredbiliti portal The Malaysian Insider sebagai media alternatif kepada media arus perdana.

Adakah The Malaysian Insider begitu terdesak untuk membuat berita yang popular sehingga sanggup membuat gambar superimpose?

Berita ini sungguh berniat jahat kerana ia berunsur untuk melagakan para peserta demonstrasi kepada PAS dan Presiden PAS.

Justeru, PAS mendesak portal The Malaysian Insider agar segera memohon maaf secara terbuka kepada PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan juga para peserta demonstrasi atas penyiaran berita bergambar palsu tersebut.

Sifat tanggungjawab, amanah dan jujur adalah prinsip dunia kewartawanan dan media yang patut dipertahankan. - HARAKAHDAILY 7/3/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat.

Share on Myspace