1MDB: Najib wajar letak jawatan Menteri Kewangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: DAP menuntut Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan bagi membolehkan siasatan yang telus dan bebas dibuat terhadap syarikat milik kerajaan Malaysia tersebut.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata ini selaras dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai 1MDB.

Beliau telah berkali-kali meminta kerajaan Malaysia melantik seorang Menteri Kewangan sepenuh masa untuk menangani ekonomi negara, khususnya sewaktu krisis dan kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi.

Katanya, kenyataan Muhyiddin adalah tepat dengan masanya untuk mendesak Najib mengundur diri daripada memegang jawatan Menteri Kewangan.

Beliau berkata, Muhyiddin dalam kenyataan baru-baru ini telah menuntut supaya:

Ketua Audit Negara memeriksa kira-kira 1MDB secara bebas dan tanpa gangguan mana-mana pihak, dan menyusur akaun sehingga ke tahun 2009 apabila 1MDB ditubuhkan, dan bukan setakat akaun tahun 2013.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) boleh mula menyiasat 1MDB tanpa perlu menunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara.

Kerajaan dilarang daripada menyelamatkan (bail out) 1MDB, dan Muhyiddin mempersoalkan cadangan penstrukturan semula 1MDB yang melibatkan penjualan tanah Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia yang dibeli dengan harga murah yang boleh menyebabkan kerajaan menanggung rugi.

Chin Tong menambah, kenyataan itu adalah petanda paling jelas Muhyiddin telah mencabar kepimpinan Najib.

“Walaupun Najib masih boleh bergayut dengan kuasa Perdana Menteri buat sementara waktu, adalah menjadi tanggungjawab Kabinet untuk mendesak Najib supaya meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan bagi membolehkan siasatan penuh dan bebas dilaksanakan terhadap 1MDB,” katanya dipetik Roketkini.

Share on Myspace