Pemimpin Pakatan Rakyat tiada masalah isytihar harta

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata beliau tiada masalah untuk membuat pengisytiharan harta.

Beliau berkata perkara itu juga merupakan sebahagian daripada pegangan dan amalan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sejak 2008.

“Tiada masalah kerana tiada apa yang hendak disembunyikan. Mana-mana pimpinan dalam PR bersedia untuk mengisytiharkan harta masing-masing,” katanya dipetik Seangor Kini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa pihak supaya Menteri Besar mengisytiharkan harta.

Sebelum ini, Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mencabar Adun dan ahli parlimen PR untuk mengisytiharkan harta.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terlebih dahulu menyahut cabaran berkenaan.

Rafizi dilaporkan berkata akan membuat pengisytiharan itu di lobi parlimen pada minggu hadapan.

Sebelum itu, beliau menyertai acara larian sejauh lima kilometer sempena Hari Wanita Sedunia bersama lebih 4,000 peserta yang tamat di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Share on Myspace