Amukan tsunami Sungai Lebir masih bersisa

ASLANI M | FOTO MIJIE YUSOF | .

KUALA KRAI: Menjejaki kaki di Kampung Manek Urai Lama masih boleh dilihat kesan-kesan amukan tsunami Sungai Lebir. Selepas hampir tiga bulan berlalu kesannya tidak banyak berubah.

Masih banyak rumah runtuh dibiarkan begitu. Ada rumah hanyut menghimpit rumah jiran. Ada sebuah rumah kayu dibawa arus kira-kira 50 meter terlekat di batang pokok kepala.

Kebun dokong milik Kesedar di jalan masuk dari simpang Jalan Kuala Krai-Gua Musang bertukar menjadi kemerahan, daun banyak sudah gugur.

Markas PAS tercabut atap di padang bola berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Manek Urai Lama masih dibiarkan begitu. Bumbung bangunan dua tingkat SK juga belum dibaiki.

Bumbung pasar juga hanyut entah ke mana. Di stesen kereta api yang terletak lebih tinggi juga hanyut, hanya tinggal landasan dan papan tanda tanpa bangunan stesen.

Banyak pokok yang rendah bertukar warna menjadi perang. Hanya pokok kelapa yang subur menonjak ke langit.

Sepanjang sejarah besar melanda Kelantan, tidak pernah kelihatan suasana seperti disaksikan sekarang.

Setiap hari di sana-sini di Manek Urai kedengaran penduduk mengetuk paku bagi membina bangsal sementara sebagai tempat berteduh.

Bagi yang bernasib mereka membina semula rumah biar pun jauh lebih kecil berbanding sebelum tsunami kecil melanda hulu Kelantan.

Malah lima rumah di bawah kelolaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kerja Raya sedang dalam pembinaan berhampiran SK Manek Urai Lama.

Rumah itu tinggi kira-kira lapan kaki dari tanah. Ada juga penduduk terpaksa membina sendiri kerana tidak memiliki geran tanah.

Pemuda PAS Malaysia juga menyiapkan dua rumah Budiman, sebuah lagi dalam pembinaan di Manek Urai.

Biar pun lot kediaman sudah diduduki mangsa banjir sejak berpuluh tahun, namun mereka belum memiliki geran secara sah.

“Saya terpaksa membina rumah dengan wang sendiri kerana tidak layak mendapat rumah bantuan kerajaan di bawah MKN kerana tidak ada geran tanah,” kata seorang mangsa banjir.

Kata beliau sepatutnya kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Jajahan mempermudahkan urusan bagi mengeluarkan surat milik sementara dengan bayaran deposit rendah.

Sebahagian besar mangsa banjir masih lagi mendiami khemah sumbangan MKN. Mereka hanya memasuki khemah pada sebelah malam kerana hawa panas membahang di siang hari.

Hawa panas dalam khemah menyebabkan ramai mangsa banjir lebih selesa mendiami bangsal yang dibina sendiri. Ada juga khemah sumbangan negara China dan pelbagai NGO lain.

Sebuah Persatuan Penganut Buddha Tzu-Chi Merit Malaysia banyak membantu meringankan bebanan mangsa banjir. Rumah sementara di bawah kelolaan persatuan itu banyak dibina di Manek Urai.

Hampir tiga bulan lagi Ramadan menjengok. Mereka tidak tahu apa nasibnya. Apa yang pasti suasana dialami mereka sekarang seperti kem pelarian di sempadan Syria dan Palestin. - HARAKAHDAILY 8/3/2015

Share on Myspace