1MDB bom jangka buat Najib, kata Husam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Sebagai rakyat Malaysia, saya menyokong tindakan berani Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," tulis Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam facebooknya, semalam.

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia juga, beliau tidak hanya ingin mendengar laporan audit kosmetik dengan spesifikasi tugas yang sangat terhad untuk memberikan gambaran yang salah terhadap kedudukan sebenar 1MDB.

Berikut tulisan penuh beliau.

Sebulan dua yang lalu, saya telah menjangkakan bahawa isu 1MDB ini akan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dari takhta kerusi Perdana Menteri Malaysia.

Perkara ini menjadi semakin serius setelah timbalannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mengeluarkan kenyataan seolah-olah menampar Perdana Menteri buat kali pertama mengenai isu 1MDB.

Kenyataan terbuka ini, jelas telah melontarkan batu ke dada politik Datuk Seri Najib. Kenyataan Tan Sri Muhyiddin dibuat setelah Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pada Rabu lalu bahawa kabinet sebulat suara berpendapat penjelasan 1MDB adalah perlu dan elok serta satu perhimpunan khas Umno akan dibuat pada hari Ahad ini untuk menyokong Datuk Seri Najib.

Setelah menilai dua kenyataan yang bercanggah itu, saya melihat jelas dan nyata bahawa kabinet tidak sebulat suara menyokong isu ini seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan Tan Sri Muhyiddin kita boleh fahami bahawa pengauditan ke atas 1MDB yang dibuat oleh firma Audit, Deloitte hanya untuk tahun 2013 di mana wang pelaburan yang dipersoalkan telah pun dipulangkan atau diganti dengan wang lain untuk menunjukkan segala-galanya adalah teratur. Bagaimana pelaburan itu diuruskan sebelum itu gagal disentuh oleh Deloitte kerana tugas spesifik yang terhad yang diberikan kepada mereka.

Oleh itu, kita telah melihat bahawa Tan Sri Muhyiddin telah melangkah setapak ke hadapan dengan meminta supaya proses audit 1MDB lebih meluas dilakukan oleh Jabatan Audit dan Jawatankuasa Pemeriksa kira-kira supaya semakan menjadi lebih telus. Perkara ini jelas telah memuka ruang untuk membuka “pekung”. Apanila dibongkarkan ini merupakan satu tekanan yang kuat yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin ke atas bosnya sendiri.

Perkara ini sangat pelik bagi seorang Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berasingan secara rasmi yang bertentangan dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri sendiri.

Sebagai rakyat Malaysia, saya menyokong tindakan berani Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai rakyat Malaysia juga, saya tidak hanya ingin mendengar laporan audit kosmetik dengan spesifikasi tugas yang sangat terhad untuk memberikan gambaran yang salah terhadap kedudukan sebenar 1MDB.

Harus diingat isu 1MDB tidak hanya jadi bom jangka buat Datuk Sri Najib Tun Razak, ia juga akan memberikan impak yang sangat buruk kepada negara yang akhirnya rakyat terbeban sama. - HARAKAHDAILY 9/3/2015

Share on Myspace