Had semula wilayah laut bertentangan perlembagaan

LAHIRUL LATIGU | .

SAYA ucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk berada di atas pentas hari ini walaupun saya dari PAS dan Pakatan Rakyat. Moga-moga forum hari ini dapat mencapai titik temu dan merangka pelan tindakan.

Sebelum pergi jauh ada dua undang-undang yang telah diwujudkan untuk aktiviti carigali minyak ini iaitu Akta Perlombongan Petrolium (Akta 83) dan Akta Pelantar Benua (Akta 95) yang telah diluluskan di Parlimen pada 1966.

Akta Perlombongan Petroleum adalah kuasa yang diberikan kepada kerajaan Persekutuan untuk aktiviti perlombongan petroleum ini. Manakala Akta Pelantar Benua adalah bertujuan menetapakan wilayah laut yang menjadi hak kepada kerajaan Persekutuan.

Namun kedua-duanya akta ini tidak boleh diwartakan di Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri ini telah mempunyai pelantar benuanya sendiri yang telah ditetapkan oleh Queen England melalui Order In Council, North Borneo (Alteration of Boundries) 1954 dan 1954 yang telah menetapkan had sempadan wilayah laut negeri sehingga 180km dari pesisir Pantai.

Hak mineral di bawahnya juga tertakluk di bawah undang-undang Tanah Negeri, Ordinan Tanah Sabah (cap 68).

Tiada mana-mana undang-undang Persekutuan pun boleh melangkaui undang-undang di bawah negeri kecuali melalui Undang-undang Darurat di bawah Artikel 150(5). Apabila berlaku rusuhan peristiwa 13 Mei Parlimen digantung dari 15 Mei 1969 hingga 21 Jun 1972.

Peluang ini digunakan dengan mewujudkan ratusan ordinan dan warta. Antaranya ialah Ordinan Darurat (kuasa-kuasa Perlu) No 7 1069 yang telah menghadkan wilayah laut negeri kepada 3 batu nautika. Maka sempadan laut selebihnya secara automatik menjadi milik persekutuan.

Akta Pembangunan Petrolium (PDA 74) selepas itu diluluskan di Parlimen pada tahun 1974 bertujuan untuk mewujudkan Petronas dan memindahkan hak milik pelantar benua yang telah dimiliki oleh Persekutuan melalui Vesting Order yang telah ditandatangani oleh Tun Razak pada 1975.

Perjanjian antara Petronas dengan Sabah pada 1976 hanyalah ehsan dari Pusat untuk memberikan royalti 5%. Itupun sebenarnya tertakluk di bawah 3 batu nautika milik negeri.

Namun apabila Proklamasi Darurat telah ditarik semula oleh Datuk Seri Najib pada 24 November 2011 sebenarnya memberi kesan yang besar iaitu kuasa negeri kembali kepada negeri mengikut saluran Dewan Undungan Negeri.

Walaupun selepas itu diwujudkan Akta Wilayah Laut yang diluluskan pada April 2012 di Parlimen bagi menghadkan semula wilayah laut negeri kepada 3 batu nautika namun pada saya ia adalah bertentangan dengan semangat perlembagaan.

Dan ini disahkan secara tidak langsung dalam hansard Dun, sidang Dun 14-16 Julai 2014, apabila dalam satu pertanyaan Adun mengenai hakmilik perairan wilayah Sabah setelah Ordinan Darurat ditarik semula, jawapan Ketua Menteri ialah secara automatiknya dua Undang-undang iaitu Akta Pelantar Benua dan Akta Perlombongan Petrolium kini telah tidak terpakai di Sabah.

Sekarang tepuk dada tanya selera. Kini di tangan kita untuk kita melakukan perubahan. Sekian terima kasih. - HARAKAHDAILY 9/3/2015

Tulisan di atas adalah petikan ucapan Ketua Pemuda PAS Sabah yang juga Exco Pemuda PAS Malaysia, Lahirul Latigu pada Forum Pembentukan Malaysia 'Hak Minyak dan Wilayah Laut' di Universiti Malaysi Sabah pada 7 Mac lalu.

Share on Myspace