Permohonan Anwar ditolak berdasar Seksyen 31(1)(a)

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara tidak meluluskan permohonan bagi membolehkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-13.
    
Komisioner Jeneral Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata ia diputuskan selepas pertimbangan dibuat, dan berdasarkan Seksyen 31(1)(a) Akta Penjara 1995.
    
"Saya dengan ini mengesahkan surat penolakan telah dihantar kepada pemohon pada Rabu, 4 Mac 2015," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
    
Zulkifli berkata bahawa Jabatan Penjara sebelum ini telah menerima permohonan daripada Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, dan Tetuan Daim & Gamany bagi membolehkan Anwar, Anggota Parlimen Permatang Pauh, menghadiri sesi pertama sidang Parlimen tahun ini dari 9 Mac hingga 9 April.
    
Seksyen 31(1)(a) Akta Penjara 1995 memperuntukkan bahawa Komisioner Jeneral Penjara boleh mengarahkan supaya banduan dibawa ke mana-mana tempat di Malaysia melalui perintah bertulis, setelah berpuas hati terdapat alasan munasabah yang menghendaki kehadiran seseorang banduan di tempat itu.
    
Anwar kini ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lepas menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. - BERNAMA

Share on Myspace