Gerak kerja kempen tetap sama walau tanpa BN

ASLANI M Foto RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Biar pun Barisan Nasional (BN) enggan menyertai pilihan raya kecil (PRK) Dun Chempaka namun ia bukan kerja mudah bagi mengekalkan majoriti dipertahan sejak tujuh penggal lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Tok Guru mempertahankan Dun berkenaan sejak pilihan raya umum 1986, ketika itu dikenali sebagai Semut Api. Pada masa itu bekas Menteri Besar terbabit berada di barisan pembangkang.

Calon PAS PRK berkenaan, Ahmad Fathan Mahmood mengakui bukan kerja mudah bagi mengekalkan majoriti besar yang dipertahan Tuan Guru.

“Biar pun BN sejak awal lagi mengumumkan tidak menyertai pilihan raya berkenaan, namun jentera PAS perlu bekerja keras.

“Sama juga seperti kita naik bas untuk ke Kuala Lumpur, kalau penumpang tiga orang pun bas tetap berjalan menuju ke destinasinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baung di sini, hari ini.

Rumahnya terletak bersebelahan Masjid al-Karomah, tempatnya menjadi imam sebelum ini. Kedudukannya kira-kira 50 meter dari jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa.

Malam tadi Ahmad Fathan diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun berkenaan pada pilihan raya kecil 22 Mac ini.

Penamaan calon akan diadakan esok bertempat di Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa. Perarakan calon PAS dijangka bermula di Putik.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian Tok Guru akibat kanser prostat pada 12 Febuari lalu.

Sebelum ini Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak memberitahu bahawa BN tidak akan bertanding pada PRK Dun Chempaka bagi memberi keutamaan urusan bantuan pasca banjir.

“Keputusan diambil selepas mendapat penjelasan daripada Umno Bahagian itu,” kata Perdana Menteri.

Ahmad Fathan berkata, jentera PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh mengambil ringan bagi mempertahankan Dun Chempaka kerana sebelum ini diwakili seorang negarawan.

Menurutnya biar pun calon Bebas yang dijangka menyertai pilihan raya berkenaan namun gerak kerja PRK tersebut tetap sama.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pengkalan Chepa berkata, kesungguhan kempen diteruskan biar pun tanpa kehadiran BN dan hendaklah dianggap sama seperti PRK lain.

Pada ceramah pengumuman calon malam tadi, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS kawasan dari seluruh negara memberi komitmen positif untuk datang membantu kempen di Chempaka.

“PAS Pusat sudah mengarahkan mereka datang membantu kempen bagi mempertahankan Dun Chempaka,” katanya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, parti itu akan memastikan Chempaka terus dipertahankan di bawah Pakatan Rakyat. – HARAKAHDAILY 9/3/2015

Share on Myspace