1MDB: PAS desak polis siasat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS mendesak pihak polis melakukan siasatan terhadap jenayah pecah amanah dalam skandal 1MDB berdasarkan laporan akhbar The Edge keluaran 9 hingga 15 Mac.

Ekoran itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini telah membuat laporan polis berhubung skandal 1MDB di Balai Polis Dang Wangi.

Tindakannya itu kerana atas dasar prinsip tanggungjawab kolektif warga Malaysia bagi menghindar perbuatan pecah amanah yang akan merugikan negara dan rakyat negara ini.

Dalam keluaran terkini The Edge pada muka surat 62, 63, 64 dan 65 melaporkan mengenai perjalanan pelaburan 1MDB.  

Husam membuat laporan ini untuk polis melakukan siasatan di bawah Seksyen 405 kesalahan Jenayah Pecah Amanah di bawah Akta Kesalahan Jenayah 574 meliputi pembayaran sebanyak USD 700 juta oleh 1MDB kepada Good Star Limited Seychelles.

Katanya, siasatan perlu dilakukan ke atas Penasihat 1MDB, Menteri kewangan serta Ahli Lembaga dan Pengursan 1MDB pada tahun 2009 dan 2010 mengenai pembayaran oleh 1MDB sebanyak USD 1 bilion (bersamaan RM3.48 bilion) kepada syarikat usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited bernama 1MDB PetroSaudi Ltd tanpa mempunyai profile syarikat rakan usaha sama, tanpa semakan aset yang diisytiharkan yang kemudiannya didapati tidak wujud dan tanpa telebih dahulu mendapat persetujuan Lembaga 1MDB.

Sehubungan itu, Husam menyeru agar Perdana Menteri mengosongkan kedudukan beliau sebagai Penasihat 1MDB dan Menteri Kewangan sehingga siasatan selesai bagi membolehkan siasatan berjalan tanpa sebarang kerumitan.

"Pada tempoh itu, Timbalan Perdana Menteri hendaklah dilantik pemegang kedua-dua jawatan itu,” katanya ditemui selepas membuat laporan polis.

Tegasnya, jika apa yang dilaporkan oleh The Edge adalah benar, maka Menteri Kewangan pada waktu transaksi itu berlaku tidak berkeupayaan menjaga kepentingan kewangan negara dan mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

Jelas Husam, secara kolektif kabinet mesti bertanggungjawab terhadap 1MDB dan seharusnya satu kertas kabinet telah disediakan untuk meluluskan pembentukan 1MDB dan seterusnya menerima laporan dari masa ke semasa.

"Kegagalan itu, jika berlaku bermakna kegagalan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab secara khusus.

"Saya juga menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri supaya laporan audit forensik dilakukan ke atas 1MDB dan semua anak syarikat atau usaha samanya dilakukan seberapa segera dan satu kertas putih hendaklah dibentangkan di Parlimen," katanya.

Dalam pada itu, menurut Husam pihak akhbar The Edge bersedia memberi bantuan untuk menyiasat skandal 1MDB kerana akhbar berkenaan telah lama membuat siasatan berhubung skandal ini.

"Harap polis dapat hubungi The Edge bagi mendapatkan bukti-bukti tentang skandal ini," katanya yang turut memberitahu ada seorang lagi rakyat Malaysia juga membuat laporan polis berhubung 1MDB di balai berkenaan. – HARAKAHDAILY 9/3/2015

Share on Myspace