SPRM tangkap ketua pegawai eksekutif anak syarikat Felda

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuat tangkapan ke atas ketua pegawai eksekutif sebuah anak syarikat Felda pada 1 Mac lalu.

"Beliau masih dalam tahanan direman sehingga 10 Mac 2015," jelas Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dalam satu kenyataan yang merujuk kepada laporan media baru-baru ini.

Menurutnya, SPRM turut menahan seorang ahli perniagaan pada 26 Februari 2015.

Katanya, dia ditahan reman sehingga 5 Mac 2015 dan disambung reman selama empat hari sebelum dibebaskan pada 7 Mac 2015.

Jelas beliau lagi, kedua-dua mereka yang berusia 44 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyeleweng wang anak syarikat Felda berhubung pembelian sebuah hotel di Port Dickson bernilai lebih kurang RM40 juta.

"Setakat ini seramai 23 orang telah diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 a(A) Akta SPRM 2009. Siasatan masih berterusan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 9/3/2015

Share on Myspace