BN tidak demokratik, nafi hak Ketua Pembangkang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan semula permohonan untuk memberi keizinan kepada Ketua Pembangkang agar dapat hadir berbahas khususnya sebagai tanda menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang telah berangkat mencemar duli merasmikan Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Yang Ke-13, semalam.

Justeru, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS berasa kesal dengan sikap keangkuhan kerajaan Barisan Nasional yang menafikan hak Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang untuk hadir ke Parlimen.

Menurut Ketua Whip Ahli Parlimen PAS itu, semalam di dalam sejarah insitusi legislatif, apabila majlis perasmian sidang Parlimen berlangsung tanpa kehadiran Ketua Pembangkang.

Katanya, walaupun Anwar sudah menjadi tahanan di Penjara Sungai Buloh tetapi kelayakan beliau sebagai wakil rakyat Permatang Pauh masih belum hilang selagimana Lembaga Pengampunan tidak membuat keputusan terhadap permohonan pengampunan yang telah dihantar.

"Tindakan pihak kerajaan menyekat hak demokrasi yang telah dijamin di sisi Perlembagaan ini bukan sahaja mengecewakan kami ahli parlimen pembangkang tetapi seluruh rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat pada PRU13 yang lalu," ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, pelbagai alasan diberikan oleh kerajaan untuk menghalang Ketua Pembangkang daripada hadir berbahas di Parlimen tetapi hakikatnya pihak Komisioner Penjara berhak untuk menggunakan budibicaranya sepertimana terkandung di dalam Seksyen 31(1)(a) Akta Penjara 1995 yang memperuntukkan bahawa Komisioner Jeneral Penjara boleh mengarahkan supaya banduan dibawa ke mana-mana tempat di Malaysia melalui perintah bertulis, setelah berpuas hati terdapat alasan munasabah yang menghendaki kehadiran seseorang banduan di tempat itu.

Beliau menambah, pihak Komisioner Penjara sepatutnya membuat keputusan dengan bebas, berani dan adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana rakyat tetap melihat keputusan penolakan itu bersifat politik iaitu menafikan hak Ketua Pembangkang yang menjadi musuh kepada Kerajaan Barisan Nasional.

"Saya melihat tindakan Kerajaan BN menyekat Ketua Pembangkang hadir ke Parlimen ini telah memburukkan imej Malaysia di mata dunia," katanya.

Mahfuz berkata, sebagai sebuah negara demokrasi yang mengambil pendekatan sasatiyyah yang dilaung-laungkan itu sepatutnya Kerajaan BN bertindak mengikut lunas demokrasi dan perikemanusiaan bukannya dendam. - HARAKAHDAILY 10/3/2015

Share on Myspace