Sokongan, solidariti untuk JK Bertindak Kg Banggol Donas

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengharapkan isu pengambilan tanah Kg Banggol Donas, Kuala Nerus diselesaikan dengan mengambil kira cadangan-cadangan penyelesaian yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa bertindak.

"Semoga hak rakyat dapat dikembalikan semula," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dalam satu kenyataan.

Katanya, Jawatankuasa Bertindak Kg Banggol Donas, Parlimen Kuala Nerus akan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya, esok (11 Mac) bagi mendengar kes rayuan berhubung isu pengambilan tanah di kampung itu untuk tujuan pembinaan jalan susur Lebuh raya Pantai Timur (LPT) II.

Beliau berkata, berikutan itu telah memangsakan tanah 22 keluarga di Kg Banggol Donas yang dirampas secara paksa dan tidak berperaturan.

"Oleh yang demikian, saya merayu dan menyeru kepada warga Malaysia sekalian untuk memberikan sokongan dan bersolidariti bersama jawatankuasa ini bagi membela hak penduduk yang menjadi mangsa kezaliman dan penindasan pemerintah," ujarnya lagi.

Untuk makluman semua juga, ujarnya bantahan dibuat oleh jawatankuasa itu kerana sebenarnya kerajaan mempunyai alternatif lain untuk tidak mengambil tanah penduduk Kg Banggol Donas iaitu dengan meluruskan jajaran dari Kg Banggol Tuan Muda melalui sebidang tanah lapang milik sebuah syarikat korporat.

Namun begitu, jelas beliau kerajaan tidak sedikit pun mengusik tanah itu bahkan merampas pula tanah penduduk Kg Banggol Donas.

Selain itu, tambahnya pengambilan tanah itu juga dibuat dengan tidak mematuhi Akta Pengambilan Tanah 1960 apabila pemilik tanah tidak pernah diberitahu bahawa tanah mereka akan diambil oleh kerajaan.

Fakta lanjut berkenaan isu itu boleh dirujuk di blog beliau http://drtakiri.blogspot.com/2014/11/surat-terbuka-kepada-pm-isu-rampasan.html. - HARAKAHDAILY 10/3/2015

Share on Myspace